Penumpang jatuh atas landasan di Stesen Wangsa Maju

Seorang penumpang dilaporkan pitam sebelum terjatuh di atas landasan LRT di Stesen Wangsa Maju pagi tadi.
Rapid KL dalam satu kenyataan di Facebook berkata kejadian kira-kira 6.25 pagi itu menyebabkan perkhidmatan laluan Kelana Jaya mengalami sedikit kelewatan.
Katanya, sejurus insiden berlaku sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan.
“Penumpang terlibat kemudiannya berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan oleh petugas stesen dan dibawa ke bilik kecemasan untuk mendapat rawatan awal,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan keadaan penumpang dan kecederaan dialaminya.
Rapid KL juga menasihatkan penumpang yang berasa kurang sihat atau memerlukan pertolongan di stesen atau platform disarankan mendapat bantuan daripada polis bantuan atau petugas stesen.
Penumpang juga dinasihatkan supaya berada di belakang garisan kuning ketika berada di platform sebagai langkah keselamatan semasa menunggu tren.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.