Kalau nyah beku aset pun tak cukup tampung denda RM50 juta, kata anak Najib

Anak Najib Razak berkata, bekas perdana menteri itu tetap tidak mampu membayar denda RM50 juta bagi sabitan kes SRC International, walaupun pembekuan asetnya ditarik balik.
Nizar yang juga Adun Peramu Jaya berkata, jika aset tidak dibekukan mungkin sedikit sebanyak boleh membantu bapanya melunaskan denda itu.
“Tapi hakikatnya banyak lagi yang perlu diusahakan sebelum kita dapat (mengumpulkan) jumlah itu,” katanya menurut Pahang Media dalam sidang media khas Umno Pekan malam tadi.
Nizar mengucapkan terima kasih kepada orang ramai menyumbangkan lebih RM36,000 kepada Tabung Solidariti Najib yang dilancarkan Umno bagi membantu bekas presidennya membayar denda RM50 juta.
Exco Pahang itu berkata, rakyat pelbagai latar belakang dan bangsa menyumbang secara sukarela, tanda ramai masih mengingati Najib.
“Jumlah ini bukan kecil dan untuk melunaskan jumlah tersebut perlu kutipan pada jangka masa agak lama. Sama ada ayah dapat tanggung ataupun tidak, bergantung kepada jumlah kutipan.”
Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dalam kes SRC yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, jika beliau membayar denda RM50 juta.
Umno kemudian melancarkan Tabung Solidariti Najib untuk membantu melunaskan jumlah itu serta menggesa pemimpin, ahli dan penyokong parti turut menyumbang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.