Sampai bila Pisa dan ranking menentukan kejayaan pendidikan kita?

Sekali lagi keputusan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) diumumkan. Dan sekali lagi kita resah. Sejak Malaysia menyertai Pisa pada 2009, hampir setiap pusingan membawa ritual yang sama. Skor dibandingkan, kedudukan dipersoalkan, matematik kembali menjadi kebimbangan dan sistem pendidikan sekali lagi dibedah.
Pisa 2025 membawa berita bercampur. Skor sains Malaysia meningkat tiga mata kepada 419 dan bacaan lima mata kepada 393 berbanding 2022, walaupun perubahan itu tidak signifikan secara statistik. Matematik pula menurun 11 mata kepada 397. Ketiga-tiganya masih di bawah purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Tiga tahun lagi, ritual ini akan berulang. Skor naik, kita raikan. Skor turun, kita cari penjelasan. Pisa yang sepatutnya menjadi alat diagnosis akhirnya mudah berubah menjadi medan pertarungan naratif.
Pisa penting sebagai penanda aras antarabangsa. Tetapi masalah bermula apabila penanda aras bertukar menjadi penentu kejayaan pendidikan. Sebaik mana pun metodologinya, Pisa hanya mengukur sebahagian hasil pendidikan iaitu keupayaan pelajar berusia 15 tahun menggunakan pengetahuan dalam Matematik, Sains dan Bacaan.Ia tidak direka untuk menjawab persoalan yang jauh lebih besar iaitu manusia bagaimana yang sedang kita bentuk?
Di sinilah Malaysia perlu belajar daripada Korea Selatan bukan sekadar bagaimana untuk mencatat pencapaian tingi dalam PISA, tetapi memahami batas dan kesan sebalik pencapaian itu sendiri.
Korea Selatan berada pada kelompok teratas, tetapi adakah skor menceritakan semuanya?
Dalam Pisa 2025, Korea Selatan memperoleh 522 mata dalam matematik, 526 dalam sains dan 501 dalam bacaan. Malaysia masing-masing mencatat 397, 419 dan 393. Jurangnya besar. Banyak yang boleh kita pelajari daripada Korea Selatan seperti keseriusan terhadap pendidikan, budaya belajar, penghormatan kepada guru, disiplin dan kesanggupan keluarga melabur dalam pendidikan anak. Tetapi jangan belajar daripada angkanya sahaja. Lihat juga apa yang berlaku di sekeliling angka itu.
Pada 2025, 75.7% pelajar sekolah rendah dan menengah Korea Selatan menyertai pendidikan swasta di luar sistem persekolahan formal, termasuk hagwon. Jumlah perbelanjaannya mencecah 27.5 trilion won setahun. Walaupun kedua-dua angka ini menurun berbanding 2024, skalanya tetap memperlihatkan betapa besarnya pendidikan tambahan dalam kehidupan pelajar dan keluarga Korea Selatan.
Korea Selatan juga berhadapan persoalan kesejahteraan yang serius. Negara itu mencatat kadar bunuh diri antara yang tertinggi dalam OECD dan pada 2024, bunuh diri merupakan punca kematian utama bagi penduduk berusia 10 hingga 49 tahun. Tentulah tidak tepat, malah tidak bertanggungjawab, menghubungkan statistik itu secara langsung dengan sistem pendidikan. Sebabnya jauh lebih kompleks. Namun ia mengingatkan kita bahawa kecemerlangan akademik tidak secara automatik bermakna kesejahteraan dalam semua dimensi.Tinjauan rasmi Korea pada 2025 juga menunjukkan 2.5% pelajar melaporkan pernah mengalami keganasan sekolah, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Ini bukan bermakna sistem pendidikan Korea Selatan gagal. Pelajarannya lebih besar iaitu sebuah sistem boleh sangat berjaya menurut ukuran akademik, tetapi masih perlu bekerja keras pada dimensi manusia yang tidak muncul pada papan skor Pisa. Belajar daripada Korea Selatan tidak bermakna meniru Korea Selatan.
Malaysia perlu letakkan Pisa pada tempatnya
Selepas hampir dua dekad menyertai Pisa, mengapa kita masih perlu menunggu ujian antarabangsa setiap tiga tahun untuk memberitahu kelemahan yang sepatutnya dapat dikesan setiap hari di bilik darjah?Sebuah sistem pendidikan yang benar-benar mengenali anak-anaknya tidak sepatutnya terkejut setiap tiga tahun. Malaysia sepatutnya cukup matang membangunkan scorecard pendidikannya sendiri, bukan menggantikan Pisa, tetapi melengkapkannya. Kita perlu mengukur literasi dan numerasi, tetapi juga daya fikir, integriti, disiplin, tanggungjawab, adab dan kematangan membuat pertimbangan.
Sebuah negara yang matang mesti terlebih dahulu tahu manusia bagaimana yang mahu dibentuk, kemudian berani mengukur sejauh mana sistem pendidikannya benar-benar membentuk manusia tersebut. Data kita sendiri sudah cukup membimbangkan. Maknanya kita tidak perlu pun menunggu Paris untuk mengetahui kelemahan pendidikan kita. Data sendiri sudah banyak bercerita.
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat pencapaian keseluruhan terbaik sejak SPM berasaskan KSSM bermula pada 2021, dengan Gred Purata Kebangsaan bertambah baik kepada 4.42.Namun pada tahun yang sama, 21.7% calon gagal Matematik. Daripada 385,118 calon yang menduduki mata pelajaran itu, lebih 83,000 gagal. Matematik tambahan pula mencatat kadar gagal 26.1%. Secara kumulatif, lebih 715,000 calon gagal matematik SPM antara 2017 hingga 2025. Dalam hal ini, tentulah Kementerian Pendidikan melaksanakan pelbagai intervensi. Tetapi apabila matematik telah menjadi keutamaan selama berdekad-dekad, angka sebesar ini tidak boleh sekadar menjadi statistik tahunan. Ia mesti menjadi bahan audit dasar.
Akses meluas tetapi manusia bagaimana yang kita hasilkan?
Kita perlu berlaku adil terhadap sejarah pendidikan Malaysia. Sejak merdeka, negara mencapai kemajuan besar dalam memperluas akses. Sekolah berkembang, pendidikan tinggi semakin terbuka dan jutaan anak keluarga biasa mendapat peluang memperoleh kelayakan yang mengubah kehidupan mereka. Itu achievement list yang tidak boleh dinafikan. Tetapi akses tidak semestinya bermaksud penguasaan. Pisa 2022 menunjukkan hanya sekitar 41% pelajar Malaysia mencapai sekurang-kurangnya tahap 2 matematik, berbanding purata OECD sebanyak 69%. SPM 2025 pula menunjukkan 21.7% calon gagal matematik.
Namun ada satu lagi angka yang jauh kurang mendapat perhatian. Sebanyak 21% calon pendidikan moral mendapat gred gagal. Ini bermakna kira-kira seorang daripada lima calon yang mengambil mata pelajaran tersebut.Tentulah gagal Pendidikan Moral tidak bermakna seseorang itu tidak bermoral. Peperiksaan juga tidak mampu mengukur keseluruhan akhlak atau karakter manusia. Tetapi justeru itulah persoalannya.
Jika kita benar-benar percaya pendidikan bertujuan membentuk manusia, mengapa pembinaan karakter tidak diaudit dengan keseriusan yang sama seperti matematik, pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan kebolehpasaran? Matematik gagal, kita resah. Pendidikan moral gagal, kita hampir tidak berbicara. Mungkin perbezaan reaksi itu sendiri merupakan ukuran paling jujur tentang apa yang sebenarnya kita hargai dalam pendidikan. Dahulu persoalan besar kita ialah siapa mendapat akses kepada pendidikan? Hari ini, setelah akses semakin meluas, persoalannya perlu lebih jauh – apa yang dikuasai setelah mendapat akses itu dan manusia bagaimana yang akhirnya kita hasilkan?
Paradoks yang sama juga berlaku di peringkat pengajian tinggi. Universiti semakin ‘ditadbir’ oleh parameter penarafan universiti yang dibina oleh orang luar melalui ukuran yang mudah dihitung – penerbitan, sitasi, reputasi, pengantarabangsaan dan kebolehpasaran graduan. Lalu kita amat mengambil tahu universiti kita berada di tangga berapa di dunia. Tetapi kita kurang serius mengukur sejauh mana nilai benar-benar ditambah kepada seorang pelajar selepas tiga atau empat tahun berada di universiti. Adakah graduannya lebih mampu berfikir dan matang membuat pertimbangan? Lebih berintegriti? Lebih beradab ketika berbeza pendapat? Lebih berani secara moral dan bertanggungjawab kepada masyarakat?
Ranking antarabangsa berguna. Tetapi universiti tidak boleh menyusun seluruh keutamaannya semata-mata untuk memanjat tangga berdasarkan rubrik yang ditentukan pihak lain. Jika universiti Malaysia dibina untuk membangunkan masyarakat Malaysia, kita juga memerlukan ukuran yang jujur kepada tujuan itu.
Apakah ukuran sebenar mobiliti pendidikan?
Dalam konteks ini, cadangan daripada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 untuk membangunkan Pangkalan Data dan Indeks Mobiliti Pendidikan Nasional menarik perhatian. Ini anjakan penting. Kita memang perlu bergerak daripada schooling kepada learning, dan daripada learning kepada mobiliti – bukan sekadar berapa lama seseorang berada dalam sistem, tetapi apa yang dikuasainya dan ke mana pendidikan membawanya. Tetapi kita perlu bertanya mobiliti ke mana? Jangan sampai kita bermula dengan cita-cita melahirkan good man, tetapi akhirnya hanya mengukur successful man.
Tradisi ilmu kita sudah lama mengingatkan bahawa pendidikan bukan sekadar pemindahan maklumat dan kemahiran. Dalam gagasan ta’dib, pendidikan turut melibatkan penyemaian adab dan pembentukan manusia. Successful man mungkin mengubah taraf hidup. Good man mengubah cara hidup.
Apabila manusianya berubah dari segi disiplin, integriti, sikap terhadap ilmu, etika kerja dan tanggungjawabnya, maka hasil ekonomi dan sosial yang kita idamkan mempunyai asas lebih kukuh untuk turut berubah.
Pendidikan kita terlalu banyak wish list
Malaysia tidak pernah kekurangan pelan. Kita mempunyai pelan induk demi pelan induk, kongres demi kongres dan resolusi demi resolusi. Kita mahu STEM diperkasa, TVET dipertingkat, guru berkualiti, graduan kompeten, hubungan universiti-industri diperkukuh serta lebih ramai inovator dan usahawan dilahirkan. Kita juga mahu pendidikan membina nilai, akhlak dan identiti. Semuanya baik. Masalahnya, kita sudah terlalu lama mahu semuanya.
Sebelum satu lagi pelan, kongres atau reformasi menghasilkan aspirasi baharu, bentangkan dahulu tiga senarai: wish list – apa yang pernah kita mahu, janjikan dan sasarkan; achievement list – apa yang benar-benar dicapai, berdasarkan data dan bukti; failed list – apa yang belum tercapai, mengapa ia gagal dan apa yang dipelajari daripadanya. Hanya selepas itu kita bina next list.
Jika tidak, setiap pelan baharu bermula semula dari halaman pertama. Masalah lama diberi istilah baharu, aspirasi lama diberi sasaran baharu dan struktur baharu diwujudkan untuk menyelesaikan persoalan lama. Kita akhirnya kaya dengan aspirasi tetapi miskin akauntabiliti. Hakikatnya kita tidak kekurangan diagnosis. Kita tahu kemiskinan mewujudkan jurang pendidikan. Akses tidak menjamin penguasaan. Graduasi tidak menjamin kompetensi. Ijazah tidak menjamin mobiliti. Dan kepintaran tidak menjamin karakter.
Kemerosotan matematik mungkin antara entri paling jelas dalam failed list. Tetapi entri paling sukar ialah sesuatu yang tidak mempunyai skor mudah iaitu mengukur kesan setelah segala pendidikan yang kita curahkan, manusia bagaimana yang telah kita hasilkan? Inilah audit yang paling lama kita tangguhkan. Dan mungkin itulah scorecard pendidikan yang paling jujur.
Kita perlu belajar daripada Korea Selatan, tetapi bukan semata-mata bagaimana hendak mengalahkannya dalam Pisa. Pengajaran lebih besar ialah bagaimana membina sistem pendidikan yang cukup serius mengejar kecemerlangan, tetapi cukup matang untuk tidak membiarkan kecemerlangan ditentukan oleh satu ukuran. Kerana akhirnya, pendidikan bukan pertandingan menghasilkan skor terbaik. Pendidikan ialah agenda besar menghasilkan manusia yang lebih baik.
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Felo Sejahtera, RCE Tongyeong Sejahtera Forest, Korea Selatan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.