PH wajar lupakan rancangan kerjasama dengan Bersatu selepas kalah di Melaka

Penganalisis politik berpendapat Pakatan Harapan (PH) wajar melupakan rancangan menjalin kerjasama lebih erat dengan Bersatu susulan prestasi buruk mereka pada PRN Melaka Sabtu lalu.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Bersatu tidak mampu menyaingi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam merebut sokongan pengundi Melayu.
“Ia (kerjasama PH-Bersatu) mungkin menjauhkan pengundi tradisi PH,” katanya ketika dihubungi FMT.
Bersatu dan Amanah yang merupakan parti serpihan Umno dan PAS, serta PKR gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Melaka Sabtu lalu.

Bersatu tewas tujuh kerusi majoriti Melayu ditandinginya, manakala PH hanya memenangi empat kerusi, semuanya menerusi DAP yang sebelum ini membantah kerjasama gabungan itu dengan Bersatu.
Asrul Sani daripada firma perunding politik The Asia Group, yang senada berkata walaupun sokongan Bersatu berpotensi menjadi aset, ia tidak semestinya menjamin sokongan pengundi secara automatik kepada PH.
“PH wajar menangguhkan sebarang usaha membentuk pakatan lebih luas sehingga Bersatu dapat membuktikan manfaat kerjasama itu melebihi kesannya terhadap kedudukan PH sendiri.”

Jelasnya, sebarang kerjasama antara dua parti itu ketika ini perlu dihadkan di peringkat Parlimen, merujuk perjanjian keyakinan dan perbekalan yang dimeterai baru-baru ini antara Putrajaya dan Bersatu.
“Sebarang pakatan lebih luas perlu ditangguhkan sehingga Bersatu membuktikan nilai sumbangannya dari segi sokongan pilihan raya dan PH mencapai pendirian bersama.”
Kenapa pakatan PH-Bersatu gagal di Melaka
Mengulas kegagalan pakatan PH-Bersatu pada PRN Melaka, Syaza berkata, kerjasama itu sukar menarik sokongan pengundi kerana kedua-dua parti tidak mempunyai matlamat bersama yang mampu menyatukan dan menggerakkan penyokong mereka.
Keadaan itu, katanya, berbeza dengan agenda penyatuan Melayu-Islam yang dibawakan BN dan PN, selain rasa tidak percaya dalam kalangan penyokong PH terhadap Bersatu.
Ketika membantah kerjasama itu bulan lalu, bekas pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo, membangkitkan peranan Bersatu dalam kejatuhan kerajaan persekutuan dan Melaka pimpinan PH susulan Langkah Sheraton pada 2020.
Asrul berpendapat sifat kerjasama PH-Bersatu yang terhad dan tidak formal gagal membuahkan hasil bermakna buat kedua-dua parti pada PRN Melaka.
Walaupun perjanjian lebih jelas mungkin dapat memperbaiki penyelarasan kedua-dua parti, katanya, langkah itu mungkin tidak akan mengubah keputusan pilihan raya.
“PH dan Bersatu bergelut mendapatkan sokongan pengundi Melayu, manakala BN dan PN berjaya mengukuhkan sokongan mereka lebih berkesan.
“Prestasi mengecewakan mereka menunjukkan masalah lebih besar dari segi daya tarikan kepada pengundi, selain kelemahan dalam penyelarasan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.