CSA amaran Anwar kepada BN, kata penganalisis

Tawaran perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) kepada pembangkang mungkin menjadi amaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengugut kerajaan dengan menarik sokongan terhadap belanjawan atau dasar, kata penganalisis.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata tawaran itu tidak banyak membantu kelangsungan kuasa Anwar kerana beliau sudah mempunyai sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen, termasuk daripada BN.

Katanya, BN dijangka terus menyokong dasar kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan walaupun tidak semestinya sehaluan dengan Anwar dari segi politik.
“Kenyataan sebegini dikeluarkan ketika ini untuk beri amaran kepada BN, anda tidak boleh mengugut saya (Anwar) dari segi undi sokongan, contohnya belanjawan dan dasar, kerana ada CSA dengan pembangkang,” katanya kepada FMT.
Azmi mengulas kenyataan Anwar, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh disediakan melalui CSA, seperti perjanjian digunakan ketika beliau menjadi ketua pembangkang.
Pada September 2021, kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi komitmen terhadap peruntukan pembangunan kawasan secara saksama. Sebagai balasan, PH bersetuju menyokong atau berkecuali dalam usul kepercayaan dan rang undang-undang pembekalan, termasuk Bajet 2022.
Semalam, Anwar berkata di Dewan Rakyat kerajaan kekal terbuka membincangkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan melantik Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengendalikan rundingan.
Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menolak draf memorandum persefahaman kerajaan mengenai peruntukan kawasan, dengan membangkitkan kebimbangan berkaitan keperlembagaan, kebebasan bersuara, isu 3R, pengisytiharan harta serta ketidakjelasan jumlah dan mekanisme pembiayaan.
Azmi berkata, peruntukan kawasan perlu ditetapkan melalui undang-undang supaya hak Ahli Parlimen pembangkang jelas dan tidak bergantung pada budi bicara kerajaan.

Sementara itu, Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjangka rundingan tersebut gagal kerana pembangkang tidak mempunyai alasan kukuh untuk menerima tawaran berkenaan.
Katanya, pembangkang sudah bertahan empat tahun tanpa peruntukan dan boleh meneruskan keadaan itu untuk setahun lagi, sambil menggunakan isu tersebut untuk menyalahkan Anwar.
“Namun, perkara itu tidak menjejaskan kedudukan Anwar kerana beliau masih mempunyai majoriti di Dewan Rakyat. Isu ini sekadar menjadi retorik kedua-dua pihak demi kepentingan masing-masing,” katanya.
Syaza berkata, peruntukan kawasan wajar diinstitusikan supaya tidak bergantung pada budi bicara perdana menteri atau kerajaan yang memerintah. Beliau turut berkata PH pernah memperjuangkan perkara sama ketika menjadi pembangkang dan peruntukan itu merupakan hak Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
Beliau juga berpandangan, Anwar mungkin melihat peluang untuk berunding dengan PN ketika hubungannya dengan Umno semakin retak.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, CSA boleh meningkatkan kestabilan politik jika diterima pembangkang, selain membuka ruang kerjasama dalam isu berkepentingan negara dan rakyat.
Katanya, kerjasama itu boleh merangkumi perbahasan belanjawan dan sokongan terhadap dasar yang bermanfaat, tanpa menjejaskan peranan pembangkang sebagai semak dan imbang.
“Jika tak berjaya pun beliau (Anwar) masih boleh memimpin negara seperti biasa dalam keadaan beliau juga mendapat sokongan majoriti dan ia boleh diteruskan macam biasa. Cuma, jika berjaya ia menambah baik lagi,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.