AGC dituduh ubah pendirian berkait tahanan rumah Najib

Peguam Najib Razak mendakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) mengubah pendirian pada saat akhir berhubung pelaksanaan perintah tahanan rumah ke atas bekas perdana menteri itu.
Farhan Shafee berkata, kenyataan Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, semalam menunjukkan perubahan pendirian berbanding kenyataan AGC sebelum ini yang menimbulkan kekeliruan.
“Jadi, yang mana satu? Adakah AGC mengatakan terdapat dua interpretasi yang mungkin atau perintah itu sendiri cacat? Ini dua aduan berbeza dan setiap satunya mempunyai remedi berbeza.
“Sukar bagi kami memberikan jawapan tepat apabila pihak yang membuat kenyataan-kenyataan ini terus mengubah tiang gol dan pendiriannya,” katanya menurut Berita Harian.
Tegasnya, perintah pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan jelas menyatakan denda RM50 juta telah dibayar dan baki hukuman Najib perlu dijalani di bawah tahanan rumah mengikut pengampunan bersyarat.
“Tiada apa-apa dalam perintah itu yang memerlukan tafsiran,” katanya sambil menambah semua pihak perlu memahami perintah mahkamah dalam kes jenayah disedia dan dikeluarkan mahkamah sendiri, berbeza dengan kes sivil di mana perintah disediakan pihak pembelaan.
Semalam, Dusuki mempersoalkan ketelitian dalam penyediaan dokumen mahkamah berkaitan pelaksanaan perintah tahanan rumah Najib.
Beliau berkata, terdapat kecacatan “ketara” dalam perintah pelepasan itu berkaitan hukuman Najib dalam kes rasuah SRC International.
Kecacatan yang didakwa menimbulkan persoalan dalam kalangan pengamal undang-undang itu berkaitan ketepatan istilah serta peruntukan undang-undang yang digunakan dalam dokumen berkenaan.
Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan itu selepas denda RM50 juta dikenakan terhadap bekas presiden Umno berkenaan dibayar melalui dana solidariti dilancarkan parti terbabit, yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC kemudian mengambil tindakan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib sementara menunggu penelitian terhadap pengampunan bersyarat dan perintah pelepasan itu kerana ia membabitkan persoalan undang-undang rumit serta memberi kesan terhadap pelaksanaan pengampunan diraja dan perintah mahkamah.
AGC menjelaskan permohonan itu bukan bertujuan mempertikaikan pengampunan bersyarat diberikan, sebaliknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kesan undang-undang perintah pelepasan berkenaan.
Susulan itu, Istana Negara menegur AGC, menyifatkan sebarang hujah mempertikai perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Agong.
Istana Negara menegaskan perintah pengampunan itu jelas dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Perintah berkenaan juga tiada kaitan dengan kes lain dihadapi Najib.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.