Kes kematian Irene Sofiya: PM arah siasatan segera, telus

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan segera, menyeluruh dan telus dijalankan susulan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor semalam.
Beliau berkata, tindakan tegas mengikut undang-undang mesti diambil sekiranya wujud sebarang unsur jenayah dalam insiden berkenaan.
“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Anwar turut menzahirkan rasa duka serta ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa, sambil mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian berat berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga mengarahkan pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap aspek kawalan keselamatan di sekolah terbabit, termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta kelulusan dan rondaan syarikat kawalan keselamatan.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Fadhlina berkata beliau juga berada di Yong Peng untuk mendapatkan sendiri perkembangan kejadian itu dan memberi jaminan KPM akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan tidak akan mendahului siasatan berhubung motif serta punca sebenar kejadian.
Tambahnya, sokongan kaunseling turut diberikan kepada warga sekolah yang terkesan, sambil orang ramai digesa menghentikan sebarang spekulasi berhubung kes itu.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah menengah di Yong Peng petang semalam.
Mangsa dilaporkan ditemui neneknya yang datang ke sekolah selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang selepas menghadiri kelas bimbangan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.