Da’i Syed lepas, bebas tuduhan rogol

Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Shaiful yang lebih dikenali Da’i Syed dilepas dan dibebaskan Mahkamah Rayuan atas pertuduhan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.
Keputusan majoriti 2-1 itu dibuat Hakim Azman Abdullah, yang mengetuai panel tiga hakim, dan Radzi Abdul Hamid dengan membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal.
Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid pula menentang keputusan itu.
Azman ketika membaca keputusan majoriti itu berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
“Sabitan terhadap perayu tidak selamat. Rayuan dibenarkan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi diketepikan.”
Azman berkata, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan serius dalam memutuskan perayu bersalah.
Jelasnya, tindakan mangsa tidak sama dengan kelakuan mangsa rogol kerana dia tidak beredar selepas kejadian itu, sebaliknya bermalam di rumah perayu.
Tegasnya, mangsa menghantar mesej kepada perayu selepas itu meminta untuk berjumpa lagi dan hanya membuat laporan polis 441 hari selepas kejadian berkenaan.
Panel majoriti turut mengambil kira hujah pihak pembelaan berhubung tingkah laku mangsa sebelum, semasa dan selepas kejadian, yang menunjukkan hubungan seksual itu berlaku atas dasar suka sama suka.
Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Tetapi, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri.
Pada 30 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal, serta diperintahkan ke penjara pada hari sama.
Selepas dimasukkan ke Penjara Kajang selama 21 hari, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi untuk menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu didengar.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.