Pertemuan dengan Sanusi positif, beri bayangan awal kerjasama Umno-PAS Kedah, kata Mahdzir

Umno Kedah mendapat bayangan awal mengenai bentuk kerjasama yang boleh dijalin dengan PAS susulan pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Besar Sanusi Nor semalam, kata Mahdzir Khalid.
Bagaimanapun, ketua Umno Kedah itu berkata tiada perbincangan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana perkara itu masih terlalu awal, selain pertemuan berkenaan bukan rundingan rasmi.
“Saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Umno Kedah turut mendapat gambaran awal mengenai bagaimana rundingan antara kedua-dua parti boleh dibawa ke meja perbincangan sekiranya mereka bergerak bersama pada PRU16.
Mahdzir hadir bersama Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Ariffin Man, Ketua Umno Alor Setar Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Umno Jerlun Othman Aziz.
Beliau berkata hasil pertemuan itu akan dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi Umno sebelum langkah seterusnya disusun.
“Apa sekalipun keputusan yang hendak dibuat, akan diputuskan di peringkat tertinggi kedua-dua parti,” katanya.
Sanusi sebelum ini dipetik berkata pertemuan dengan Umno Kedah tidak akan membincangkan agihan kerusi kerana ia hanya boleh diputuskan PAS Pusat selepas berunding di peringkat nasional, bukan di peringkat negeri.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.