Hapus budaya silo, perkukuh pemantauan eksport komoditi, kata penganalisis maritim

Agensi kerajaan yang terbabit dalam pemantauan eksport komoditi perlu memperkukuh kerjasama dan perkongsian data bagi membendung ketirisan hasil negara akibat pengisytiharan eksport yang tidak tepat, kata penganalisis maritim.
Nazery Khalid berkata budaya kerja secara berasingan atau silo antara agensi perlu dihapuskan bagi memastikan proses dokumentasi, pemeriksaan dan penguatkuasaan eksport dilaksanakan dengan lebih berkesan serta telus.
Menurut profesor adjung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, penggunaan teknologi digital juga perlu dipertingkat bagi memudahkan perkongsian maklumat dan membolehkan pemantauan lebih menyeluruh sepanjang rantaian bekalan.
Ujarnya, ia akan membolehkan agensi terbabit membuat keputusan lebih tepat berdasarkan data, selain meningkatkan keyakinan terhadap sistem eksport dan perdagangan Malaysia.
“Langkah ini juga dapat mengurangkan risiko ketirisan hasil seperti cukai tidak dibayar dan aliran keluar tukaran asing yang tidak direkodkan.
“Selain risiko terhadap kesihatan awam akibat pengisytiharan tidak tepat bagi kargo campuran seperti minyak sawit teradun,” katanya dalam kenyataan.
Gesaan itu menyusul langkah Indonesia memperketat pemantauan eksport komoditi utama bagi membendung amalan pengisytiharan invois rendah (under-invoicing), iaitu tindakan pengeksport mengisytiharkan nilai barangan lebih rendah daripada nilai sebenar.
Menurut Bloomberg, Indonesia menerusi Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI), sebuah agensi di bawah dana kekayaan berdaulat Danantara, akan memantau eksport arang batu, minyak sawit dan ferroaloi bernilai kira-kira USD60 bilion pada peringkat awal.
Agensi itu juga merancang mengenakan fi perkhidmatan beberapa dolar Amerika bagi setiap tan eksport, dengan kadar sebenar dijangka diumumkan pada Disember sebelum operasi penuh bermula Januari 2027.
Sementara itu, pemain industri R Jeyenderan berkata langkah Indonesia wajar mendorong Malaysia menilai semula keberkesanan sistem pemantauan eksport sedia ada.
Beliau berkata walaupun Malaysia mempunyai pelbagai sistem elektronik dan agensi berkaitan, penyelarasan serta perkongsian data perlu diperkukuh bagi memastikan nilai dan kuantiti kargo yang diisytiharkan sepadan dengan penghantaran sebenar.
“Mempunyai sistem digital penting tetapi lebih utama memastikan maklumat dapat disemak silang bagi menentukan sama ada kuantiti dan nilai diisytiharkan dalam dokumen sepadan barangan sebenar dieksport,” katanya.
Jeyenderan mencadangkan sistem sedia ada disepadukan dengan lebih baik supaya pihak berkuasa dapat menjejaki maklumat eksport, daripada pengisytiharan barangan dan pemuatan kargo ke kapal sehingga penghantaran selesai.
“Langkah itu penting terutama bagi eksport minyak sawit dan petroleum yang membabitkan penghantaran berskala besar serta pelbagai pihak, termasuk pengeksport, syarikat perkapalan dan pengendali penyimpanan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.