SPRM tahan bekas pegawai berkait bayaran RM42 juta kepada beberapa syarikat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan pembayaran kira-kira RM42 juta kepada beberapa syarikat.
Penahanan itu susulan siasatan SPRM terhadap isu kerugian dialami UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings), termasuk membabitkan pembayaran perbelanjaan operasi kepada beberapa syarikat.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam di kediamannya di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 2017 dengan membuat pembayaran berkaitan perbelanjaan operasi kepada beberapa buah syarikat yang dipercayai suspek mempunyai kepentingan di dalam syarikat tersebut,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka didakwa di mahkamah Khamis ini.
Pada 2023, SPRM memulakan siasatan terhadap kerugian RM157 juta dialami UiTM Holdings bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Ketika itu, SPRM berkata siasatan turut meneliti beberapa pelaburan dibuat syarikat berkenaan bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dana.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan UiTM mengkaji semula tadbir urus dan pengurusan cabang pelaburannya susulan kerugian berjuta-juta ringgit yang dialami.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.