Kerajaan ada kewajipan moral audit RM50 juta Umno untuk Najib, kata Kadir Jasin

Kerajaan mempunyai kewajipan moral untuk menyiasat sumber dana RM50 juta yang dikumpul oleh Umno bagi melunaskan denda bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International, kata wartawan veteran A Kadir Jasin.
Kadir berkata, kerajaan yang berulang kali menegaskan komitmennya dalam membanteras rasuah harus memastikan bayaran itu datangnya daripada sumber yang sah, tidak kira siapa penyumbangnya.

“Hatta kalau Umno sekali pun yang membayar denda itu, pihak-pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang RM50 juta itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kadir berkata, jumlah yang begitu besar wajar diteliti asal-usulnya, termasuk kemungkinan wujud sumbangan daripada individu mahupun syarikat perniagaan yang berkaitan dengan kontrak kerajaan.
“Boleh jadi ada tauke-tauke yang mendapat habuan daripada projek-projek ini yang berasa terhutang budi. Walaupun sebahagian projek-projek ini berjalan lancar, namun unsur rasuah tetap tidak boleh ditolak bulat-bulat,” katanya.
Pada 7 Nov, Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin turut berkata, Umno wajar mengesahkan atau menafikan dakwaan mengenai kontraktor terbabit dalam projek jalan raya yang menyumbang kepada dana tersebut.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menggesa BNM dan SPRM mengaudit dana itu bagi memastikan wang yang dikumpul itu sah dan bebas daripada pengubahan wang haram.
Bagaimanapun, Walter Sandosam, yang pernah menganggotai panel pemantau SPRM, menjelaskan tiada peruntukan undang-undang mewajibkan audit ke atas sumbangan derma, sambil menyifatkan kutipan anjuran Umno itu sebagai inisiatif peribadi.
Pada Jumaat lepas, Umno melunaskan denda RM50 juta itu sebagai sebahagian syarat pengampunan diraja yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan di rumah.
Pelaksanaan tahanan di rumah tersebut ditangguhkan buat sementara waktu susulan persoalan undang-undang yang belum selesai mengenai tafsiran pengampunan bersyarat itu dan Perintah Pelepasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam perkembangan berasingan, bekas presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Khalid Ahmad berkata, kutipan derma bukan suatu kesalahan, asalkan ia datang daripada sumber yang sah.
“Tidak salah kutip derma, selagi mana sumbernya sah di sisi undang-undang,” katanya kepada FMT.
“Tapisan bukanlah matlamat utamanya, namun punca dana tersebut mungkin perlu disaring.”

Khalid berkata, pihak bank dan agensi penguatkuasaan mempunyai mekanisme di bawah peraturan antipengubahan wang haram untuk menjejaki punca dana, jika perlu.
Katanya, tindakan itu boleh diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
“Pihak bank, Bank Negara dan polis berhak menyemak dari mana wang itu datang dan sama ada ia diperoleh menerusi sumber yang sah,” katanya.
Tambahnya, garis panduan antipengubahan wang haram BNM memperuntukkan semakan transaksi berasaskan risiko, termasuk penelitian rapi terhadap sumber dana bagi kes berisiko lebih tinggi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.