Pemandu e-panggilan mengaku tak bersalah buat hantaran jelik di media sosial

Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik melampau menerusi media sosial, Mac tahun lepas.
Syed Rosli Syed Harman, 50, selaku orang kena saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain di TikTok menerusi akaun ‘syedroslijamalullail’ pada 18 Mac 2025.
Hantaran itu kemudian dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada 8.30 malam, tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa SKMM Nazrul Nizam Mohd Zameri mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Muhammad Uzair Rifqi Abdul Rahim memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu e-panggilan dan menjalankan perniagaan kecil dan sederhana dengan pendapatan tidak menentu, selain menanggung bapa mertua, isteri dan dua anak yang masih belajar.
Hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Jan 2027.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.