Hampir 30,000 dilantik guru kontrak interim sejak Sept 2024

Seramai 29,784 pegawai perkhidmatan pendidikan dilantik secara kontrak interim antara September 2024 hingga Ogos lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Beliau berkata, pelantikan kontrak interim mula dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 1 Mac 2024 bagi graduan memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan, ketika kerajaan memuktamadkan kaedah baharu pelantikan tetap penjawat awam.
“Dalam hal ini, KPM (Kementerian Pendidikan) akan terus memastikan proses pengurusan dan peralihan status perkhidmatan tersebut dilaksanakan berdasarkan syarat kelayakan, peraturan serta mekanisma pelantikan yang berkuat kuasa dengan mengambil kira keperluan perkhidmatan pendidikan dan kesinambungan penyampaian pendidikan negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung pecahan guru lantikan kontrak (CoS) dan kontrak interim yang diserap ke jawatan tetap serta masih berkontrak setakat 31 Ogos 2026, termasuk sasaran penyerapan baki guru kontrak.
Mengulas lanjut, Wong berkata pengambilan guru CoS bukan pendidikan bukan keutamaan KPM kerana keutamaan diberikan kepada graduan program ijazah sarjana muda perguruan Institut Pendidikan Guru (IPG) serta graduan berikhtisas universiti awam.
Wong berkata, ia sebaliknya dibuat mengikut keperluan semasa termasuk pengambilan khas untuk Sarawak tahun lalu, mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris tahun ini, serta bagi menampung kemasukan murid kohort enam tahun pada 2027.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.