Kementerian Perpaduan gerakkan misi bina Bangsa Malaysia menjelang 2040

Lebih enam dekad selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia masih berdepan cabaran membina sebuah bangsa yang berkongsi identiti nasional, nilai dan aspirasi bersama tanpa mengetepikan kepelbagaian kaum, agama serta budaya.
Kementerian Perpaduan Negara berkata, pembinaan negara bangsa bukan cita-cita baharu, sebaliknya kesinambungan perjuangan pemimpin terdahulu yang meletakkan asas perpaduan melalui kemerdekaan, Dasar Ekonomi Baru dan pengisytiharan Rukun Negara pada 1970.
Katanya, agenda itu kini diberi penekanan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan kementerian di bawah kepimpinan Menteri Aaron Ago Dagang memainkan peranan utama menggerakkan usaha membentuk identiti nasional dan memperkukuh kesepaduan masyarakat.
“Cabaran membina negara tidak semestinya bermakna pembinaan bangsa turut berjaya, kerana ia memerlukan tekad rakyat untuk berkongsi masa depan serta mempunyai rasa kepunyaan terhadap negara.
“Antara cabaran utama dikenal pasti ialah polarisasi kaum dan agama, segregasi sosial, jurang pembangunan, ketidaksamaan peluang, perbezaan naratif sejarah serta penyebaran maklumat palsu melalui media digital.
“Bagi menangani isu itu, RMK13 menetapkan dua strategi utama, iaitu memperkukuh integrasi dan perpaduan nasional serta meningkatkan patriotisme dan identiti nasional,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian berkata, pendekatan 4P iaitu pembudayaan, pendayaupayaan, penginstitusian dan pengukuran, akan digunakan bagi memastikan usaha berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh dan keberhasilannya dinilai berdasarkan data.
Katanya, usaha itu turut diterjemahkan melalui Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa yang berteraskan enam bidang strategik, termasuk pengukuhan tapak integrasi, identiti nasional, tatakelola kesepaduan, kesaksamaan, daya saing generasi baharu serta ekosistem digital.
Kejayaannya, menurut kementerian, memerlukan penglibatan semua pihak termasuk institusi pendidikan, sektor swasta, media, badan bukan kerajaan, persatuan belia dan komuniti.
“Bahasa kebangsaan juga perlu terus berperanan sebagai bahasa penyatuan, manakala bidang pendidikan, ekonomi, seni, budaya, sukan dan kesukarelawanan dimanfaatkan untuk memperluas interaksi antara masyarakat,” katanya.
Kementerian turut menegaskan, kejayaan agenda itu tidak boleh diukur berdasarkan jumlah program semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi instrumen seperti Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), Indeks Patriotisme dan Indeks Ketegangan Masyarakat.
Sasaran akhirnya ialah Aspirasi 2040, iaitu membentuk negara bangsa yang bersatu padu, berpegang kepada Rukun Negara, meraikan kepelbagaian serta menikmati peluang yang saksama
Sebagai sebahagian usaha itu, kementerian akan menganjurkan Persidangan Negara Bangsa pada 30 Nov hingga 2 Dis ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan penyertaan kira-kira 3,000 peserta daripada pelbagai sektor.
Persidangan itu akan menghimpunkan ahli akademik, sejarawan, pembuat dasar dan pemegang taruh bagi membincangkan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara, sejarah, identiti nasional serta hala tuju pembinaan negara bangsa.
Resolusi persidangan dan pembangunan Blueprint Pembinaan Negara Bangsa akan dijadikan asas penyelarasan tindakan bagi tempoh pelaksanaan 2026 hingga 2040.
Kementerian berkata, persoalan utama bukan lagi bagaimana Malaysia meraikan kepelbagaiannya, tetapi sejauh mana perbezaan itu dapat disatukan menjadi kekuatan bersama.
“Malaysia telah berjaya membina sebuah negara, namun cabaran generasi hari ini adalah memastikan sebuah Bangsa Malaysia yang berkongsi identiti, nilai dan masa depan dapat direalisasikan,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.