Menang di Ayer Keroh bukti DAP masih disokong pelbagai kaum, kata Khoo

Kemenangan DAP di Ayer Keroh membuktikan parti itu masih mendapat sokongan meluas daripada pengundi pelbagai kaum, kata Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong.
Beliau berkata kejayaan mempertahankan kerusi itu amat bermakna memandangkan ramai sebelum ini menjangkakan DAP akan tewas susulan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Ayer Keroh kawasan campuran dengan komposisi pengundi pelbagai kaum yang agak seimbang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Melaka.
Menurutnya, kemenangan itu membuktikan calon DAP masih mendapat sokongan meluas daripada pengundi.
Sebelum ini, penganalisis politik yang juga bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming, menyenaraikan Ayer Keroh antara kerusi berisiko tewas kepada gabungan BN-PN.
Pengundi Cina membentuk 46% daripada keseluruhan pengundi Ayer Keroh, diikuti Melayu (44.1%) dan India (8.2%).
Calon DAP Kerk Chee Yee mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 14,078 undi dengan majoriti 5,604 undi, menewaskan Michael Gan (PN), Hamnaim Mohamad (Bersatu) dan Muhaimin Lau Abdullah (Bersama).
DAP turut berjaya mempertahankan tiga lagi kerusinya iaitu Kota Laksamana, Kesidang dan Bandar Hilir.
Khoo mengaitkan kejayaan itu dengan hubungan lama DAP bersama pengundi di Melaka, selepas parti berkenaan bertapak di negeri itu sejak 1969.
Bagaimanapun, beliau mengakui DAP sedih apabila rakan komponennya dalam Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi sebarang kerusi.
Beliau mendakwa BN dan PN memainkan politik identiti berteraskan penyatuan Melayu dan Islam sepanjang kempen pilihan raya.
“Saya percaya strategi ini menyukarkan parti komponen kami dalam pilihan raya kali ini,” katanya merujuk kepada Amanah dan PKR yang gagal memenangi sebarang kerusi.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.