The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, September 11, 2026

Mahdzir jumpa Sanusi selepas PAU bincang kemungkinan kerjasama 2 parti

Translate

Umno Kedah akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 bagi membincangkan kemungkinan hala tuju kerjasama antara partinya dengan PAS.

Ketuanya, Mahdzir Khalid, berkata pertemuan itu hanya akan diadakan selepas PAU memandangkan PAS juga baru sahaja selesai mengadakan muktamar minggu lalu.

“Biar kita selesaikan dulu. Minggu lalu Muktamar PAS di Kota Bharu, kepimpinan parti ada di Kelantan dan minggu ini di Kuala Lumpur untuk PAU.

“Saya fikir biar selesai PAU, baru cari masa untuk berjumpa,” katanya ketika ditemui menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 hari ini.

Mahdzir sebelum ini berkata satu pertemuan dengan kepimpinan PAS negeri akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan bentuk kerjasama antara kedua-dua parti menjelang PRU16.

Menurutnya, pertemuan awal itu akan menjadi langkah pertama sebelum sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara lain.

Mengenai PAU 2026, Mahdzir berpandangan ucapan dasar Presiden Umno Zahid Hamidi memberikan hala tuju yang jelas mengenai masa depan parti, termasuk usaha meneroka kerjasama dengan parti-parti Melayu.

Katanya, sebagai pemimpin dan anggota parti, beliau akan mengambil pandangan Zahid sebagai panduan dalam menentukan langkah seterusnya.

“Saya fikir ucapan presiden hari ini jelas presiden telah memberi satu hala tuju jelas.

“Sebagai ahli parti, ada pandangan sendiri, tetapi kita ikut kepada langkah yang diunjurkan presiden parti,” katanya.

Terdahulu, Zahid berkata kolaborasi agung perlu diteruskan bagi mewujudkan persefahaman politik demi mengelak pertembungan merugikan.

Dalam ucapannya, beliau berkata, gagasan itu bukan bertujuan menggabungkan parti politik, sebaliknya membina titik temu antara parti tanpa memaksa mana-mana pihak mengorbankan identiti.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.