Pernah disisih, digantung tugas, Ginie mahu bangkit semula

Lima tahun selepas digugurkan sebagai calon PKR di Machap Jaya, Ginie Lim kembali bertanding di kerusi itu dan menyifatkan pencalonannya sebagai kebangkitan semula dalam kerjaya politiknya selepas melalui pelbagai kemelut dalaman parti, tekanan supaya meninggalkan PKR serta tindakan disiplin.
Lim berkata beliau tetap setia kepada PKR walaupun pernah terpalit dalam perbalahan antara kem dalam parti, sambil menegaskan kesetiaannya kepada perjuangan dan prinsip parti, bukannya pemimpin tertentu.
“Saya tetap bertahan walaupun menerima banyak tekanan supaya keluar parti. Saya juga menerima banyak pelawaan untuk menyertai parti lain, tetapi perkara itu tidak pernah menjadi pertimbangan saya.
“Bagi saya, politik menguji kesetiaan, ketabahan dan komitmen kita terhadap perjuangan serta prinsip yang kita pegang,” katanya kepada FMT.
Lim berkata hubungannya dengan kepimpinan PKR kini semakin baik, seperti dibuktikan menerusi pelantikannya sebagai ketua penerangan Wanita PKR.
Beliau mengakui pernah digantung tugas dan berdepan aduan terhadapnya, namun menganggap pengalaman itu sebagai sebahagian daripada asam garam politik.
“Saya pernah dikenakan tindakan, tetapi saya bangkit semula. Saya berusaha memperbaiki keadaan, memperbaiki diri dan memberikan sumbangan lebih baik kepada parti,” katanya.
Hubungan Lim dengan kepimpinan PKR mula tegang pada 2019 apabila beliau dan seorang lagi Adun Muhamad Jailani Khamis, tidak hadir ketika pengundian usul mencalonkan ketua PKR Melaka ketika itu, Halim Bachik, sebagai senator.
Usul berkenaan gagal diluluskan apabila hanya mendapat 12 undi menyokong berbanding 13 undi menentang, menyebabkan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengecam ketidakhadiran mereka sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
Susulan Langkah Sheraton pada 2020 yang menyebabkan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) tumbang, PKR mengambil tindakan terhadap beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin Ali, yang kemudiannya menyertai Bersatu.
Lim adalah antara tiga pemimpin yang menerima surat amaran daripada parti walaupun beliau menafikan mempunyai kaitan dengan kem Azmin.
Beliau kemudian tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Machap Jaya pada PRN 2021, selepas memenangi kerusi itu pada 2018. Sebelum kemenangan berkenaan, Lim pernah gagal dalam percubaannya pada pilihan raya 2008 dan 2013.
Tanpa Lim sebagai calon, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Machap Jaya menerusi Ngwe Hee Sem pada PRN 2021.
Pada 2024, Lim sekali lagi berdepan tindakan disiplin apabila digantung daripada menjalankan tugas sebagai ketua PKR Cabang Alor Gajah selama setahun, susulan dakwaan melanggar perlembagaan parti.
Walaupun tidak memegang sebarang jawatan wakil rakyat sejak lima tahun lalu, Lim berkata hubungannya dengan pengundi Machap Jaya tidak pernah terputus.
Menurutnya, beliau menerima begitu banyak mesej sokongan dan kata-kata semangat sejak diumumkan sebagai calon.
“Saya terus mengekalkan hubungan dengan masyarakat melalui pelbagai saluran, sama ada menerusi NGO atau pusat khidmat Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari. Kami tidak pernah berhenti berkhidmat kepada masyarakat sepanjang lima tahun lalu,” katanya.
“Saya rasa sebab itulah penduduk masih mengingati hubungan mesra dan keakraban yang terjalin ketika saya menjadi Adun mereka.”
Lim bakal berdepan pertandingan tiga penjuru di Machap Jaya menentang Ngwe, serta B Prasanth Kumar daripada Bersama.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.