Beza pandangan antara kementerian bukan tanda perpecahan kerajaan, kata PM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan.
Sebaliknya, beliau berkata, keadaan itu sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan masing-masing demi memastikan agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan.
“Bagi memastikan tadbir urus berkesan, setiap dasar dan keputusan kerajaan hendaklah melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya.
“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri.”
Katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bagi menjawab soalan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai tindakan Kementerian Kewangan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang mengeluarkan pendirian bercanggah secara terbuka berhubung beberapa isu baru-baru ini.
Anwar memberikan jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memantau pencapaian setiap inisiatif bagi memastikan keputusan dibuat diterjemahkan kepada hasil nyata, mampan dan memanfaatkan rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata, prestasi ekonomi negara dipantau secara berterusan berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar dilaksanakan, di samping memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.