Liga tempur robot jadi pintu masuk era humanoid Malaysia

Penganjuran Shadow Combat League (SCL), pertandingan pertarungan robot humanoid pertama di Malaysia, dilihat sebagai langkah awal membiasakan masyarakat dengan teknologi robotik yang dijangka semakin meluas dalam kehidupan seharian.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif LINEARK Ian Tan Wei Lun berkata SCL menggunakan pendekatan hiburan untuk memperkenalkan robot humanoid berasaskan kawalan fizikal, sekali gus mengurangkan rasa takut atau janggal terhadap teknologi berkenaan.
“Banyak orang yang pertama kali melihat robot rasa takut atau janggal hingga menjauhkan diri.
“Jadi, kita mahu gunakan pendekatan ini untuk menormalisasikan interaksi antara manusia dengan robot,” katanya dalam kenyataan.
SCL dianjurkan buat pertama kali malam tadi di Malaysia.
Ian berkata LINEARK dan SCL turut menyasarkan 2027 sebagai titik penting dalam pengembangan teknologi itu, termasuk merancang outlet runcit berasaskan pengalaman serta liga pertarungan robot di Malaysia dan luar negara.
Menurutnya, antara cabaran utama untuk memperluaskan penggunaan robot ketika ini ialah kekurangan data dan kos pengeluaran, namun harga dijangka turun apabila pengeluaran meningkat sebagaimana berlaku terhadap teknologi telefon pintar.
Katanya, kegunaan robot humanoid juga tidak terhad kepada hiburan kerana integrasi kecerdasan buatan (AI) membolehkan ia dilatih untuk menjalankan pelbagai tugas menerusi aplikasi.
“Termasuk sebagai rakan perbualan atau membantu kerja pembersihan,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.