Hasil cukai GMT hanya dikutip selepas Jun 2027, kata timbalan menteri

Kutipan hasil cukai bawah pelaksanaan cukai minimum global (GMT) di Malaysia hanya akan mula diperoleh selepas Jun 2027, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata, penjadualan kutipan itu bergantung kepada tempoh pelaporan kewangan syarikat multinasional bagi cukai tokokan, walaupun peraturan di bawah rangka kerja OECD inclusive framework on base erosion and profit shifting (BEPS) itu berkuat kuasa sejak 1 Jan lalu.
“Ini memandangkan tarikh akhir pengemukaan dan pembayaran cukai adalah 18 bulan selepas tamat tempoh penyata kewangan disatukan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Liew menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai jumlah kutipan GMT sejak dilaksanakan pada 2025 serta sama ada cukai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diturunkan kepada 15% bagi menyamaratakannya dengan syarikat antarabangsa tanpa merugikan syarikat tempatan.
Lim turut membangkitkan kebimbangan berhubung pemberian pelepasan cukai selama 15 tahun kepada syarikat asing sejak 2016 yang didakwa mengelak cukai korporat 24% sehingga menekan pemain tempatan, khususnya dalam industri besi keluli.
Beliau mendakwa, penguasaan industri besi keluli tempatan merosot daripada 85% pada 2016 kepada hanya 15% kini, dengan hanya Malaysia Steel Works (KL) Bhd (MA Steel) yang masih beroperasi.
Mengulas kebimbangan itu, Liew berkata kerajaan memperkenalkan rangka kerja insentif baharu (NIF) mulai 1 Mac lalu bagi mengetatkan syarat kelulusan insentif pelaburan.
Menurutnya, semua pelaburan kini perlu dinilai melalui enam kriteria kad skor termasuk tahap kerumitan ekonomi dan keutamaan pengambilan pekerja tempatan.
“Hanya dengan skor tinggi yang mematuhi syarat ditetapkan, barulah insentif diberi. Dengan NIF ini, kerajaan berharap keadaan yang dibangkitkan oleh Bagan tidak berulang,” katanya.
GMT adalah pembaharuan cukai global diperkenalkan OECD bagi membendung persaingan cukai dan pemindahan keuntungan.
Ia bertujuan memastikan syarikat multinasional membayar cukai minimum 15% di mana sahaja mereka beroperasi, sama ada di negara bercukai rendah, tinggi, sifar atau yang menawarkan insentif cukai.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.