Pertikaian di N Sembilan satu krisis perlembagaan, kata pakar

Pakar undang-undang berkata pertikaian di Negeri Sembilan berhubung kedudukan pemerintahnya mempunyai ciri-ciri krisis perlembagaan, merujuk ketidakupayaan sistem tersebut yang dilihat gagal memberikan penyelesaian yang jelas.

Peguam perlembagaan, Bastian Pius Vendargon mengaitkan krisis itu dengan ‘keruntuhan serius dalam fungsi normal kerajaan negeri’ yang berpunca daripada konflik antara cabang-cabangnya yang berbeza.
Beliau berkata perkara itu kelihatan jelas berdasarkan pendirian yang amat berbeza yang diambil oleh Yang Dipertuan Besar, menteri besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, serta empat Undang.

Pakar undang-undang perlembagaan, Aziz Bari pula berkata semua pihak yang terlibat dilihat bergantung pada undang-undang tubuh kerajaan negeri untuk mempertahankan kedudukan masing-masing.
“Di Negeri Sembilan, semua pihak yang terlibat nampaknya menggunakan peruntukan perlembagaan untuk melindungi kepentingan masing-masing,” katanya kepada FMT.
Aziz berkata walaupun Dewan Keadilan dan Undang biasanya mempunyai kata putus, badan itu tidak mempunyai keupayaan untuk menguatkuasakan keputusannya.
“Ia tidak dilengkapi dengan kuasa yang diperlukan, menjadikannya sekadar sebuah pihak berkuasa untuk mengeluarkan pengisytiharan tanpa kesan menghukum,” katanya.
Pada 17 Sept, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak suatu perisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar, serta pengumuman susulan oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri yang mengesahkan perisytiharan tersebut.
AGC berkata perisytiharan itu tidak sah dan menteri besar serta anggota exco tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan pemerintah negeri.
Susulan nasihat AGC, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengumumkan bahawa perisytiharan itu tidak akan diwartakan atau dikuatkuasakan.
Pada 20 Sept, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, dengan alasan mereka melanggar sumpah jawatan masing-masing. Pada hari berikutnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim diperkenankan menghadap baginda.
Jalan penyelesaian
Aziz mencadangkan Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas untuk menyelesaikan pertikaian di Negeri Sembilan, sambil memberi amaran bahawa krisis perlembagaan itu menyentuh perkara yang amat penting dalam institusi beraja.
Beliau berkata institusi beraja di negeri itu bertujuan berfungsi sebagai ‘kuasa penstabil’ dan apabila institusi-institusi berkonflik, ia sebaliknya menjadi ‘bidak dalam satu permainan catur’.
Aziz berkata Majlis Raja-Raja mempunyai kedudukan yang paling sesuai untuk mengemukakan penyelesaian bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Vendargon berkata Mahkamah Persekutuan juga boleh menyediakan jalan penyelesaian, memandangkan Perkara 34 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 membenarkan persoalan perlembagaan dirujuk kepada mahkamah tertinggi untuk diputuskan.
“Saya cenderung untuk mencadangkan penggunaan mekanisme ini bagi menyelesaikan krisis dengan segera melalui campur tangan kehakiman,” katanya, sambil menambah bahawa rujukan kepada ‘Mahkamah Agung’ dalam perlembagaan negeri itu hendaklah dibaca sebagai merujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Perkara 34(3) memberi kuasa kepada pemerintah negeri untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, yang mesti mengeluarkan pendapat mengenainya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.