Remaja ditahan disyaki rancang serangan pengganas di Moscow

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) menahan seorang remaja selepas memuat naik video di TikTok yang mengandungi ancaman melakukan jenayah di Taman Tsaritsyno, Moscow, lapor Agensi Berita Rusia.
FSB memaklumkan siasatan dijalankan dengan kerjasama Pengawal Kebangsaan Rusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jawatankuasa Siasatan susulan maklumat diterima daripada agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat (AS) berhubung persiapan serangan pengganas di Muzium Tsaritsyno, Moscow.
“Hasil siasatan, pihak berkuasa Rusia menahan seorang remaja warga Rusia yang memuat naik gambar dirinya di platform TikTok dengan berpakaian taktikal, penutup muka, topi, cermin mata hitam dan fon kepala sambil memegang objek menyerupai senjata automatik.
“Remaja itu turut memuat naik gambar diambil di Muzium Tsaritsyno dengan kapsyen ‘Saya sudah menemui lokasinya’,” katanya dalam kenyataan.
FSB memaklumkan pemeriksaan di kediaman suspek menemui pakaian dan aksesori yang digunakan dalam gambar itu.
Pemeriksaan terhadap peranti komunikasinya pula menemui akaun TikTok yang digunakan untuk memuat naik ancaman, langganan saluran berfahaman neo-Nazi di aplikasi Telegram serta sejumlah besar carian berkaitan serangan pengganas, pembunuhan beramai-ramai dan keganasan lain yang pernah berlaku.
Menurut FSB, semua acara kebudayaan dan aktiviti awam di muzium serta taman berkenaan dibatalkan, manakala kawalan keselamatan diperketatkan sepanjang siasatan.
“Kami berterima kasih kepada pihak AS atas maklumat yang dikongsikan.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.