ESPN DeportesTigres se equivoca y permite el primero de la visitaInquirerSara Duterte snubs Senate hearing on OVP budgetThe Jerusalem PostChina sends naval forces to monitor US warship near disputed shoalDaily MaverickMusk ordered slowdown of Starlink service used by Ukraine’s military, WSJ reportsESPNFollow live: Spurs' defense ignites fans, cuts deficit vs. ThunderPunchAbuja bizman arrested over alleged $120m fraud한겨레한국 여자 축구 FIFA 순위 17윌…3년 4개월 만의 최고 성적Bollywood HungamaRamayana: Part 1 tax-free in West Bengal: CM confirms exemption for Ranbir Kapoor starrerSRF NewsSpaceX und Tesla – Elon Musk: «Ich denke, eine Fusion wäre eine gute Idee»ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFBusiness AMBusiness AM Sudoku’s 21-10-2026The Sydney Morning HeraldCrime, comedy, an Alan Jones doco and the return of Fisk: What’s coming to the ABC in 2027
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, October 21, 2026

Lebuhraya KLK berwajah baharu, perjalanan ke Pantai Timur lebih lancar

Translate

Kesesakan berjam-jam terutama pada hujung minggu dan musim perayaan, bukan perkara asing bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), antara laluan utama menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur.

Peningkatan jumlah kenderaan, pergerakan kenderaan berat yang lebih perlahan serta kemalangan atau kerosakan kenderaan sering menyebabkan aliran trafik di laluan berkenaan terganggu.

Bagi menangani masalah itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyelia projek pelebaran KLK dan pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah oleh syarikat konsesi AFA Prime Bhd.

Projek bernilai RM2.1 bilion sepanjang 45.3km itu disasarkan siap sepenuhnya pada 2029.

Ia melibatkan pelebaran daripada tiga kepada empat lorong dari Plaza Tol Gombak hingga Genting Sempah, manakala laluan dari Genting Sempah ke Persimpangan Mempaga, Bentong, akan ditambah daripada dua kepada tiga lorong.

Projek itu turut merangkumi pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999m.

PEMBINAAN TEROWONG PERLEBARAN JALAN LEBUHRAYA KL KARAK

Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999m diselia oleh syarikat konsesi AFA Prime Bhd.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata kerja fizikal projek bermula pada 9 Mac lalu, selaras dengan tarikh mula pembinaan yang diluluskan LLM.

Wan Agyl Wan Hassan.

Wan Agyl Wan Hassan.

Pakar pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata usaha itu diperlukan kerana KLK kini menanggung jumlah trafik jauh lebih tinggi berbanding ketika laluan tersebut dinaik taraf pada 1997.

Pengasas dan penasihat kanan MY Mobility Vision itu berkata jumlah trafik meningkat daripada kira-kira 41,000 kenderaan sehari ketika itu kepada lebih 130,000 kenderaan sehari sekarang.

“Dengan tambahan satu lorong setiap hala, sudah tentu akan ada lebih banyak ruang untuk menampung trafik dan kita sepatutnya melihat aliran lebih baik, terutama pada hari biasa dan hujung minggu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Wan Agyl berkata penambahan lorong sahaja tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah kesesakan sepenuhnya.

Menurutnya, pembinaan terowong ketiga juga penting kerana Genting Sempah antara titik kesesakan utama di koridor KLK yang boleh memperlahankan keseluruhan perjalanan.

Antara lokasi kritikal ialah laluan KM32 hingga KM37, yang pernah mencatatkan kesesakan serius ketika waktu puncak hujung minggu.

Katanya, keadaan muka bumi berbukit menyebabkan lori dan kenderaan berat bergerak lebih perlahan, manakala perubahan lorong serta perbezaan kelajuan antara kenderaan turut menjejaskan kelancaran trafik.

Justeru, terowong baharu yang dibina menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM) menjadi antara komponen penting projek bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.

“Apabila penambahan lorong dan terowong baharu dibuat bersama, kita sepatutnya mendapat aliran trafik yang lebih konsisten dan lancar,” katanya.

Tingkat keselamatan pengguna

Selain menambah kapasiti jalan, Wan Agyl berkata aspek keselamatan dan pengurusan insiden juga penting bagi memastikan trafik di KLK dapat bergerak lancar.

Menurutnya, kemalangan atau kerosakan kenderaan boleh menyebabkan kesesakan menjadi lebih buruk dalam tempoh singkat apabila satu daripada lorong sedia ada terhalang.

“Lebuh raya yang baik bukan sekadar berapa banyak lorong yang kita ada. Kita juga kena lihat seberapa cepat sistem boleh bertindak apabila berlaku sesuatu insiden dan seberapa cepat aliran trafik boleh dikembalikan kepada keadaan normal,” katanya.

Sehubungan itu, projek pelebaran berkenaan turut memberi perhatian kepada aspek keselamatan termasuk penyediaan bahu jalan, pencahayaan, peningkatan jarak penglihatan dan sistem pemantauan trafik.

Pada 3 Ogos lalu, Nanta berkata pemasangan lampu jalan di lokasi dikenal pasti sedang dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari selepas Terowong Genting Sempah hingga Persimpangan Mempaga sejauh kira-kira 26km.

Sebanyak 297 lampu jalan LED berkuasa solar akan dipasang di lokasi berisiko menerusi inisiatif dibiayai LLM bagi meningkatkan keselamatan pengguna, khususnya pada waktu malam.

Inisiatif itu turut merangkumi penggunaan Smart Lighting System, kamera litar tertutup (CCTV) dan Vehicle Incident Detection System (VIDS).

Perjalanan lancar bantu perniagaan

Manfaat projek itu bukan hanya kepada pengguna jalan raya, malah dijangka turut dirasai sektor perniagaan yang bergantung pada KLK untuk pergerakan barangan antara Lembah Klang dan Pantai Timur.

Munaver Ahmad Nazir Ahmad.

Munaver Ahmad Nazir Ahmad.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) Munaver Ahmad Nazir Ahmad berkata kesesakan di KLK memberi kesan kepada operasi perniagaan, khususnya penghantaran barangan dan pergerakan pekerja.

“Kesan utama kepada perniagaan bukan hanya masa perjalanan yang lebih panjang, tetapi ketidakpastian masa ketibaan,” katanya.

Menurutnya, pelebaran lebuh raya itu berpotensi menjadikan masa perjalanan lebih konsisten, sekali gus membantu syarikat logistik, pengilang, pemborong, peruncit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merancang penghantaran dengan lebih tepat.

Beliau berkata hubungan jalan raya yang lebih baik juga boleh memperluas akses pasaran kepada usahawan di Pahang, Terengganu dan Kelantan, khususnya untuk memasarkan produk ke Lembah Klang.

Katanya, perjalanan yang lebih konsisten dapat memudahkan penghantaran produk tempatan seperti makanan, hasil pertanian, batik, kraf dan hasil perikanan.

Pengguna harap perjalanan lebih lancar

Pengguna KLK yang ditemui FMT turut berharap projek itu dapat mengurangkan kesesakan serta menjadikan perjalanan lebih lancar dan selamat.

Mohd Farid Ismail.

Mohd Farid Ismail.

Mohd Farid Ismail, 38, yang tinggal di Gombak dan menggunakan KLK setiap hari untuk berniaga, berharap penambahan lorong dapat mengurangkan kesesakan terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

“Kita harap lepas ini kuranglah kesesakan bila jalan sudah lebih besar,” katanya.

Syah Effendi Abdul Jalil.

Syah Effendi Abdul Jalil.

Mekanik Syah Effendi Abdul Jalil, 43, pula berkata penambahan lorong boleh membantu mengurangkan gangguan trafik apabila berlaku kerosakan kenderaan berat.

“Di sini banyak lori. Kadang-kadang lori rosak dan menyebabkan kesesakan. Kalau tambah laluan, mungkin memang dapat membantu,” katanya.

Sharifah Nur Syuhada.

Sharifah Nur Syuhada.

Bagi Sharifah Nur Syuhada, 30, yang pernah mengambil masa sehingga tiga jam untuk bergerak dari kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah ke Gombak, projek itu diharap dapat membawa perubahan ketara kepada pengguna.

“Harapnya projek pembesaran jalan ini dapat membantu melancarkan trafik dan mengurangkan kemalangan,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.