Umno perlu tunjuk akauntabiliti dalam kemelut LCS, kata penganalisis

Umno perlu membuktikan kesungguhannya dalam soal akauntabiliti dengan meminta bekas menteri pertahanan daripada parti itu tampil menjelaskan keputusan serta pemantauan mereka terhadap projek kapal tempur pesisir (LCS), kata seorang penganalisis.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata parti itu juga wajar menyokong penilaian bebas terhadap keputusan kementerian, perubahan kontrak dan langkah pembetulan yang diambil, selain meneliti tanggungjawab kontraktor.
“Akauntabiliti bukan bermaksud menganggap semua pihak bersalah. Ia bermaksud menuntut penjelasan,” katanya.
Beliau berkata mengenakan penalti kontrak terhadap pembina kapal semata-mata tidak akan menjawab persoalan mengenai keputusan yang dibuat dalam Kementerian Pertahanan.

“Jika kontraktor bertanggungjawab terhadap kelewatan, kenakan penalti yang sewajarnya mengikut kontrak.
“Tetapi jika keputusan kementerian turut menyumbang kepada kelewatan itu, siapa pula yang akan mempertanggungjawabkan pihak yang membuat keputusan?” soalnya.
Sejak 2009, portfolio pertahanan pernah diterajui lima pemimpin Umno, iaitu Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Ismail Sabri Yaakob, Mohamad Hasan dan menteri pertahanan ketika ini, Khaled Nordin.
“Tidak semua menteri membuat keputusan yang sama dan tanggungjawab perlu dinilai berdasarkan tempoh masing-masing memegang jawatan,” kata Zaharuddin.
Menurutnya, rekod Umno dalam kerajaan turut membawa tanggungjawab untuk menjelaskan kelemahan dalam pemantauan serta tindakan yang diambil menteri parti itu apabila masalah mula timbul.
Projek itu pada asalnya membabitkan pembinaan enam kapal dengan kos RM9.128 bilion, tetapi kemudian disemak kepada lima kapal dengan kos RM11.227 bilion.
Kapal pertama yang sepatutnya diserahkan pada 2019 kini disasarkan untuk penyerahan fizikal pada April 2027.
Pada 26 Okt, Khaled mengakui ada kelewatan dalam memuktamadkan beberapa kontrak serta perubahan yang diminta Kementerian Pertahanan, namun berkata pembina kapal itu juga ketinggalan daripada jadual pembinaan.
Beliau berkata notis tuntutan ganti rugi sudah dikeluarkan kepada Lumut Naval Shipyard (Lunas), yang akan diberi peluang menjelaskan punca kelewatan.
Ganti rugi akan dikenakan jika penjelasan syarikat itu didapati tidak memuaskan.
Dalam kenyataannya pada 19 Okt, Lunas merujuk kepada beberapa kontrak sokongan yang dikendalikan secara langsung Kementerian Pertahanan serta sekatan eksport peluru berpandu oleh Norway.
Syarikat itu berkata tanggungjawab terhadap kelewatan perlu ditentukan melalui proses yang ditetapkan dalam kontrak.
Penganalisis pertahanan Zaki Salleh pula menggesa Umno mengakui kelemahan pemantauan pada masa lalu dan mendapatkan penjelasan daripada bekas menteri pertahanan mengenai asas keputusan yang dibuat.

Katanya, parti itu boleh menunjukkan akauntabiliti melalui beberapa langkah praktikal.
“Antaranya memberikan penjelasan secara terbuka, menyokong penelitian bebas dan melaksanakan pembaharuan dasar,” katanya.
Zaki turut menggesa Umno menyokong siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penelitian Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), tanpa menolaknya sebagai serangan politik.
Bagaimanapun, katanya, penilaian yang adil juga perlu mengambil kira kelemahan tadbir urus korporat dan pengurusan kontrak, selain perkembangan luar yang berada di luar kawalan parti politik tempatan.
Penganalisis keselamatan Mizan Aslam daripada Global Peace Institute of London turut berkata Umno perlu bertanggungjawab menjelaskan bagaimana projek LCS boleh berdepan masalah.

“Saya mahu tahu mengapa perkara ini berlaku dan ke mana wang itu dibelanjakan,” katanya.
Mizan berkata, menyiapkan kapal berkenaan sahaja tidak akan menjawab persoalan mengenai masa, wang dan sumber yang telah hilang, serta siapa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan.
Beliau mengingatkan supaya Umno tidak dipersalahkan secara menyeluruh, namun berkata parti itu boleh berbuat lebih banyak untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Katanya, langkah sedemikian juga boleh membantu Umno membina semula kepercayaan rakyat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.