Kemasukan tanpa visa warga India tamat 31 Dis

Malaysia akan menamatkan kemudahan kemasukan tanpa visa bagi warganegara India pada 31 Dis ini, menurut pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN), susulan langkah kerajaan memperketat saringan terhadap pelawat asing.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ismail Abd Muttalib (PN-Maran), Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengecualian visa selama 30 hari itu akan dimansuhkan bagi membolehkan saringan lebih ketat dilakukan terhadap pelawat dari India sebelum mereka tiba di Malaysia.
Imigresen turut mengeluarkan notis pada 17 Nov lalu yang memaklumkan bahawa pemegang pasport India perlu memiliki visa yang sah untuk memasuki Malaysia mulai 1 Jan 2027. Permohonan visa boleh dibuat melalui portal MyVISA mulai 1 Dis ini.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi memaklumkan kepada Times of India semalam bahawa pengecualian visa itu dijadualkan tamat pada 31 Dis, namun masih terdapat kemungkinan tempohnya dilanjutkan lagi.
Keputusan itu menyusul selepas Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada September lalu memberi amaran mengenai peningkatan penyalahgunaan kemudahan kemasukan tanpa visa oleh warganegara India yang mahu bekerja di Malaysia.
Menurut suruhanjaya tinggi itu, sebahagian daripada mereka diperdaya ejen yang menawarkan pekerjaan, sekali gus menyebabkan mereka berisiko tinggal melebihi tempoh dibenarkan, ditahan pihak berkuasa dan dieksploitasi.
Malaysia memperkenalkan kemudahan kemasukan tanpa visa kepada warganegara India pada Disember 2023 bagi merancakkan semula sektor pelancongan selepas pandemik Covid-19. Kemudahan itu membolehkan mereka berada di Malaysia sehingga 30 hari tanpa visa.
Ketika lawatan Anwar ke India pada Ogos 2024, beliau dan Perdana Menteri India Narendra Modi menyambut baik kelonggaran syarat visa itu yang disifatkan mampu menggalakkan perjalanan serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin sekali lagi memuji kemudahan itu ketika lawatan Modi ke Malaysia pada Februari lalu. Dalam kenyataan bersama, mereka berkata kelonggaran syarat visa tersebut telah meningkatkan jumlah ketibaan pelancong dan perjalanan perniagaan.
Modi turut mengetengahkan kemudahan visa elektronik pelancong percuma yang ditawarkan India kepada rakyat Malaysia, sambil menyatakan langkah sedemikian akan memudahkan urusan rakyat kedua-dua negara.
Pada perhimpunan bersama masyarakat India pada 7 Feb lalu, Anwar menyentuh peningkatan jumlah pelawat dari India dengan menyatakan lebih 1.5 juta orang dari negara itu berkunjung ke Malaysia pada 2025, mengatasi paras sebelum pandemik.
Menurut angka Tourism Malaysia, ketibaan pelawat dari India meningkat 14.6% kepada 1.56 juta orang pada 2025, berbanding 1.36 juta pada 2024.
Berdasarkan fakta berasingan agensi itu, pelawat India membelanjakan RM6.11 bilion di Malaysia pada 2024, hampir dua kali ganda berbanding RM3.41 bilion yang dicatatkan pada 2023.
Bagaimanapun, jumlah ketibaan pelawat dari India merosot 8.8% kepada 1.08 juta orang dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2025.
India kekal sebagai antara pasaran pelancongan utama Malaysia, yang telah melanjutkan kempen Tahun Melawat Malaysia sehingga 2027.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.