Gaji minimum RM2,000 mampu rancakkan ekonomi, kata persatuan penjaja

Cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 wajar dipertimbangkan kerana tambahan pendapatan itu boleh meningkatkan kuasa beli golongan B40 dan M40, kata Gabungan Persatuan Penjaja dan Perniagaan Malaysia.
Presidennya, Rosli Sulaiman, berkata ia sekali gus dapat merancakkan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kurang permintaan ketika ini susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Menurutnya, langkah itu perlu dilihat sebagai usaha mengaktifkan semula kegiatan ekonomi terutama apabila peniaga berdepan masalah barang tidak terjual kerana pemintaan yang lemah.
“Kita memang mengalu-alukan kenaikan gaji minimum dari RM1,700 kepada RM2,000 kerana tambahan pendapatan itu boleh digunakan untuk berbelanja.
“Jika tiada peningkatan gaji ketika harga minyak dan barang naik, ini membataskan kemampuan B40 dan M40 untuk berbelanja,” katanya.
Exco Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) Raymond Woo juga senada dengan berkata kerajaan boleh menyediakan subsidi upah untuk membantu majikan mengurus beban kos tambahan akibat pelarasan gaji supaya tidak membebankan mereka..
“Mekanisme subsidi itu perlu telus, mudah diakses dan tidak membebankan majikan dengan proses permohonan yang rumit supaya bantuan dapat disalurkan secara berkesan.
“Pendekatan berkenaan juga boleh menjadi mekanisme peralihan bagi membantu majikan menyesuaikan diri dengan peningkatan lantai gaji sebelum kebergantungan terhadap subsidi dikurangkan secara berperingkat,” katanya.
Menteri Sumber Manusia R Ramanan sebelum ini berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung kadar baharu gaji minimum termasuk dakwaan ia bakal dinaikkan kepada RM2,000 atau RM2,100 dan RM2,200.
Menurutnya, sebarang pengumuman mengenai kadar baharu itu hanya akan dibuat selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang membangkitkan isu gaji rendah, khususnya dalam sektor swasta.
Menurut Anwar, kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk menaikkan gaji yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong pula berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dikecualikan daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.