PunchNJC suspends three judges, disciplines six othersThe Jerusalem PostPalestinian delegation seeks resolutions critical of Israel at UN General Assembly - report한겨레삼성바이오 부분파업 돌입…법원 요건 맞춰 전면파업은 3주 뒤 예고Daily MaverickNew wave of bomb hoaxes hits dozens of flights across EuropeZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioVarietyPriyanka Chopra Jonas, Russell Crowe Sci-Fi Thriller ‘Bluefly’ Adds ‘Beast’ Star Daniel MacPherson (EXCLUSIVE)سكاي نيوز عربيةهيغسيث يدافع عن خطته لإعادة هيكلة البنتاغون ويعلق عن "عزله"Seeking AlphaGEO forecasts Q4 2026 revenue $777M-$827M with adjusted EBITDA $149M-$154M as ICE activations expandDaily MailBondi Beach massacre death toll rises to 16: Survivor dies from complications resulting from their injuries almost eleven months laterSDP EspectáculosFrida Sofía acusa a Alejandra Guzmán de proteger a Enrique Guzmán pese a su denunciaNew Straits TimesSarawak polls set for Dec 12Globo EsporteCom golaço de Kaio Jorge, Cruzeiro vira sobre o Bahia e fica perto de confirmar vaga na Libertadores
The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, November 6, 2026

Kejayaan LCS jadi ukuran kepimpinan Anwar, kata penganalisis

Translate

Anwar Ibrahim boleh menggunakan kejayaan menyiapkan projek kapal tempur pesisir (LCS) sebagai bukti keupayaan beliau dalam mentadbir negara serta membezakannya daripada rekod Umno, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata, kejayaan menyiapkan projek itu akan menunjukkan bahawa pentadbiran Anwar mampu menyelesaikan masalah yang berlarutan sekian lama, dan bukannya sekadar memastikan kerajaan perpaduan terus kekal.

“Kestabilan politik tidak banyak ertinya jika kerajaan stabil tetapi projeknya masih tidak stabil,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Beliau berkata, menyiapkan kapal itu dengan disiplin kewangan dan tadbir urus perolehan yang lebih kukuh akan membolehkan Anwar membezakan pentadbirannya daripada pentadbiran terdahulu tanpa mengkritik secara langsung Umno, rakan dalam gabungan kerajaan.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata hakikat bahawa perdana menteri mewarisi projek yang dibelenggu pelbagai masalah tidak melepaskan beliau daripada tanggungjawab untuk memulihkannya.

Zaharuddin berkata, memandangkan Anwar juga merupakan menteri kewangan, beliau berada pada kedudukan yang sesuai untuk memantau kerja pembina kapal dan memastikan projek itu mematuhi garis masa yang jelas.

Lumut Naval Shipyard (Lunas) menyiapkan reka bentuk terperinci projek itu pada Ogos 2024, dengan penyerahan rasmi dilaksanakan pada bulan berikutnya, menurut syarikat itu.

Dalam kenyataan pada 19 Okt, Lunas berkata pihaknya terus memenuhi obligasi kontrak sambil memaklumkan kerajaan mengenai isu yang menjejaskan kos projek dan garis masa penyerahan.

Syarikat itu turut berkata pihaknya menggunakan mekanisme kontrak untuk menangani perkara di luar kawalannya, dengan menekankan kontrak sokongan yang diuruskan secara langsung oleh Kementerian Pertahanan serta sekatan eksport peluru berpandu oleh Norway.

Kapal pertama kini disasarkan untuk diserahkan secara fizikal pada April 2027.

Pada 26 Okt, Menteri Pertahanan Khaled Nordin mengakui berlaku kelewatan dalam memuktamadkan kontrak tertentu dan melaksanakan perubahan yang diminta kementerian, selain mengekalkan pendirian bahawa kerja pembinaan turut ketinggalan daripada jadual.

Zaharuddin berkata, Anwar perlu mewujudkan kerangka penyerahan yang menetapkan tanggungjawab dengan jelas serta menetapkan tarikh akhir bagi keputusan yang masih belum dimuktamadkan, disokong pengawasan bebas terhadap kemajuan dan kos projek.

“Lunas tidak sepatutnya dikenakan penalti atas kelewatan yang benar-benar berpunca daripada keputusan kerajaan yang belum diselesaikan, sebagaimana Kementerian Pertahanan juga tidak sepatutnya menerima pembinaan yang tidak menepati piawaian semata-mata untuk memenuhi tarikh akhir politik,” kata Zaharuddin.

Beliau berkata menteri, pegawai dan pihak pengurusan syarikat pembina kapal mesti bertanggungjawab atas kelemahan dalam bidang kawalan masing-masing, tanpa mengira sensitiviti gabungan politik.

“Kestabilan politik tidak sepatutnya menjadi kekebalan politik,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, menggesa penyelarasan yang lebih berkesan antara Kementerian Kewangan dengan Kementerian Pertahanan, dengan pembiayaan tambahan mesti mengikut pada pencapaian tahap pembinaan yang boleh disahkan secara bebas.

Mazlan Ali

Mazlan Ali.

Beliau turut menekankan kepentingan tentera laut dalam proses penerimaan teknikal, sambil berkata pematuhan terhadap keperluan operasi pasukan itu mesti kekal bebas daripada campur tangan politik.

Mazlan berkata kejayaan menyiapkan projek itu akan membuktikan keberkesanan reformasi tadbir urus pentadbiran Madani, sekali gus menunjukkan keupayaannya menyelamatkan projek negara yang bermasalah.

Bagaimanapun, Zaharuddin mengingatkan supaya penyerahan kapal itu tidak disamakan dengan pencapaian keupayaan operasi sepenuhnya, dan menggesa supaya pencapaian penting yang meliputi ujian laut, integrasi sistem serta penerimaan oleh tentera laut disahkan secara bebas.

Beliau mencadangkan laporan awam setiap suku tahun mengenai kemajuan projek, perbelanjaan dan isu yang belum diselesaikan, disokong penilaian bebas yang dibentangkan di Parlimen.

Walaupun Umno berhak berkongsi kredit sebagai anggota kerajaan perpaduan, Zaharuddin berkata kepimpinan Anwar akhirnya akan dinilai berdasarkan kejayaan pentadbirannya menyelesaikan masalah projek itu yang berlarutan sekian lama.

“Umno mungkin perlu menjawab persoalan tentang bagaimana kontroversi LCS itu bermula.

“Bagaimanapun, Anwar perlu menjawab bagaimana dan bila ia akan berakhir,” katanya.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.