Caltex, Petron mula bayar ihsan bagi dakwaan kerosakan akibat RON95

Caltex dan Petron mula membuat bayaran ihsan kepada pengguna yang melaporkan kerosakan kenderaan selepas mengisi petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata kementeriannya sedang menyiasat aduan petrol RON95 didakwa bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan di beberapa kawasan.
Armizan memberitahu Dewan Rakyat bahawa bayaran ihsan itu bukan bermakna kedua-dua syarikat berkenaan mengakui bertanggungjawab atau melakukan sebarang kesalahan.
Katanya, walaupun punca pencemaran petrol RON95 yang disyaki berlaku itu belum dikenal pasti, kedua-dua syarikat sudah mula membuat bayaran ihsan kepada pengguna yang tuntutannya disahkan.
Pengguna perlu mengemukakan aduan bersama dokumen sokongan yang sah untuk melayakkan mereka menerima bayaran itu, tertakluk kepada syarat ditetapkan syarikat terbabit.
Armizan berkata pengguna yang merasakan bayaran ihsan diterima tidak mencukupi boleh menggunakan saluran lain untuk mendapatkan pampasan.
“Mereka boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, mengambil tindakan sivil atau merujuk kes kepada Tribunal Tuntutan Pengguna,” katanya.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai pampasan kepada pengguna terjejas dan keputusan ujian terhadap petrol yang disyaki menyebabkan kerosakan enjin.
Armizan berkata aduan diterima sejak 3 Okt lalu didapati membabitkan beberapa stesen minyak Caltex dan Petron, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang.
Daripada 262 sampel petrol diambil di seluruh negara, ujian awal terhadap 43 sampel mendapati kandungan air kurang daripada 0.05%, iaitu paras terendah yang boleh dilaporkan.
Baki sampel masih menjalani ujian bagi mengesan kandungan air dan bahan asing lain.
Menurutnya, masalah itu dipercayai membabitkan bekalan petrol dalam tempoh tertentu, namun punca sebenar masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata beberapa stesen minyak masih ditutup susulan aduan berkenaan, manakala kementerian turut meneliti kerugian dialami pengusaha stesen terbabit.
Armizan berkata kerajaan juga sedang mengkaji kaedah pengujian dan pemantauan kualiti bahan api di Singapura, United Kingdom dan Australia bagi menambah baik pengawasan bekalan petrol di Malaysia.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.