Bekas eksekutif mengaku tak salah guna dokumen palsu tuntut RM15,000

Seorang bekas eksekutif kanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas sembilan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut wang pendahuluan daripada sebuah organisasi penyelidikan industri dan teknologi, dua tahun lalu.
Nizam Ibrahim, 50, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang merangkumi sebut harga, dokumen tunai dan resit bayaran sebuah syarikat untuk mendapatkan wang pendahuluan serta tuntutan berjumlah keseluruhan RM15,088.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat organisasi berkenaan antara 22 April 2022 hingga 2 Nov 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alimi Mustapha, mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Selangor.
Bagaimanapun, Nizam yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas faktor tanggungan keluarga dan sudah menganggur selama dua tahun.
“Saya sudah dua tahun tidak bekerja dan hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pereka grafik bebas.
“Saya perlu menanggung perbelanjaan perubatan isteri yang baru menjalani pembedahan ketumbuhan di tangan, selain ibu yang mengalami masalah jantung di Jitra, Kedah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.