Ilmuwan sudah bersuara, mengapa teguran diabaikan?

Universiti memerlukan budaya yang membolehkan kelemahan dikenal pasti, teguran dipertimbangkan dan kesilapan diperbetulkan. Namun, apabila aduan dibiarkan berlarutan dan penegur pula dipersoalkan, keyakinan terhadap proses itu mula terhakis. Lama-kelamaan, warga kampus boleh memilih untuk berdiam diri kerana pengalaman mengajar mereka bahawa bersuara membawa risiko, sedangkan perubahan belum tentu menyusul.
Titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya baru-baru ini wajar direnungkan dalam konteks tersebut. Seruan baginda agar ilmuwan berani mempertahankan kebenaran turut menuntut kesediaan pihak yang memegang kuasa untuk menerima teguran dan bertindak atasnya.
Dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai sebuah universiti awam memperlihatkan betapa pentingnya tanggungjawab itu. Menurut PAC, aduan konflik kepentingan diabaikan selama hampir lapan bulan oleh pentadbiran terdahulu sebelum kepimpinan baharu memulakan siasatan dalaman. Peristiwa ini wajar mendorong setiap universiti menilai keberkesanan saluran aduan dan pengawasannya sendiri. Apabila teguran sudah disampaikan, mengapa tindakan masih perlu menunggu pertukaran kepimpinan?
Di manakah batas kuasa lembaga pengarah?
Antara dapatan PAC yang wajar diberi perhatian ialah kelemahan pengawasan di peringkat lembaga pengarah universiti. Menurut PAC, lembaga memberikan kelulusan atas anggapan bahawa semakan rapi telah dibuat di peringkat bawahan. Bayangkan kedudukan pegawai yang kemudian mengesan kelemahan pada kertas berkenaan. Untuk membetulkannya, dia perlu mempersoalkan keputusan yang sudah mendapat kelulusan lembaga. Di sinilah badan yang diamanahkan untuk mengesan kesilapan boleh menjadikan kesilapan itu lebih sukar diperbetulkan.
Sudah sampai masanya tujuan dan batas peranan ahli luar dalam lembaga pengarah dinilai semula. Pengalaman mereka dalam bidang kewangan, perundangan atau pentadbiran tentu bernilai. Kedudukan di luar pengurusan harian juga membolehkan mereka membuat penilaian dengan lebih bebas. Namun, kebebasan itu terjejas apabila mereka sendiri terlalu jauh terlibat dalam menentukan urusan yang kelak perlu mereka semak. Apabila timbul masalah, pengurusan boleh bersandar pada kelulusan lembaga, sementara lembaga pula bersandar pada perakuan pengurusan. Kepada siapa akhirnya warga universiti boleh menuntut jawapan?
Pada hemat saya, biarlah warga universiti mengurus universiti mereka. Berilah senat dan fakulti ruang menentukan hal akademik yang perlu mereka pertanggungjawabkan kepada pelajar. Berilah pengurusan kuasa menjalankan urusan harian dan tuntutlah penjelasan atas keputusannya, apabila perlu. Lembaga pula memikul amanah besar untuk mengawasi penggunaan wang awam, meneliti konflik kepentingan dan memastikan aduan terhadap pengurusan mendapat penelitian bebas. Setiap pihak perlu jelas tentang tanggungjawabnya supaya kegagalan tidak berakhir dengan saling menuding jari.
Universiti lain wajar mengambil iktibar sementara masih ada kesempatan. Bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kewujudan lembaga, jawatankuasa dan saluran aduan mesti disertai bukti bahawa teguran benar-benar disusuli. Sebuah institusi boleh mempunyai tatacara yang lengkap, tetapi tetap gagal jika pelaksanaannya bergantung pada kedudukan orang yang diadu.
Politik jawatan menyuburkan Little Napoleon
Pada pemerhatian saya, semakin kuat politicking dan percaturan jawatan di kampus, semakin luas ruang bagi Little Napoleon’. Apabila perhatian tertumpu pada siapa bakal dilantik dan siapa berharap tempoh jawatannya disambung, teguran seorang pensyarah mudah mengundang pertanyaan, “Dia orang siapa?” Belum sempat hujahnya diteliti, orang sudah meneka kemnya. Teguran yang lahir daripada rasa tanggungjawab kepada universiti pun boleh dibaca sebagai percubaan menjatuhkan seseorang.
Seorang Little Napoleon’ mungkin tidak memegang jawatan besar, malah sekadar mengetuai sebuah bahagian. Namun, di mejanya terletak kuasa untuk membawa aduan ke mesyuarat, memastikan bantahan dicatat dalam minit atau memberi peluang kepada pengadu untuk didengar. Dia juga boleh membiarkan perkara itu tergantung dengan jawapan “masih dalam penelitian”. Setelah berbulan-bulan menunggu, pengadu yang meminta kepastian pula dianggap mendesak.
Keadaannya lebih buruk apabila beberapa pemegang jawatan saling melindungi kerana berada di kem yang sama. Seorang menahan aduan, seorang lagi memberi jaminan bahawa perkara itu sedang diuruskan, sementara pihak yang berkuasa menyemak menerima jaminan tersebut kerana esok dia mungkin memerlukan budi yang sama. Di situlah perumpamaan ‘mafia akademik’ mendapat maknanya. Pengadu boleh membawa perkaranya ke peringkat lebih tinggi, tetapi di setiap peringkat dia berhadapan dengan lingkungan orang yang sama.
Apabila kesetiaan peribadi menentukan layanan terhadap teguran, seluruh universiti menanggung akibatnya. Keputusan yang lemah terus dilaksanakan, tenaga dihabiskan untuk menjaga hubungan dan orang yang mampu memperbaiki keadaan semakin menjauhkan diri. Lebih lama budaya ini dibiarkan, lebih sukar untuk memulihkan kepercayaan warga kampus.
Apabila yang pernah menegur mula tawar hati
Di sinilah sikap diam perlu dibaca dengan lebih cermat. Ada warga kampus yang pernah mengangkat tangan dalam mesyuarat, menunjukkan kelemahan dan mencadangkan pembetulan. Persoalan asal tidak terjawab, tetapi mereka pula bertalu-talu disoal. Mengapa perkara itu dibangkitkan? Siapa yang mendorong mereka? Ada yang kemudian dipinggirkan daripada perbincangan dalam bidang kepakaran sendiri. Setelah berkali-kali melalui pengalaman itu, terbit rasa tawar hati. “Biarlah apa hendak jadi. Kalau ditegur pun, apa yang berubah? Kita pula yang kena soal.”
Ada pula kelompok kedua. Mereka melihat nasib rakan yang mendahului mereka. Dalam suasana politik semasa, apabila perkiraan tentang kem dan kesetiaan turut mempengaruhi kehidupan kampus, mudah bagi mereka membuat kesimpulan, “Memang begitulah amalannya. Apa gunanya menegur?” Bagi kelompok pertama, pengalaman mematahkan semangat untuk bersuara lagi. Bagi kelompok kedua, apa yang disaksikan sudah cukup untuk mematahkan niat sebelum sempat mencuba.
Kesan terhadap universiti jauh melampaui satu aduan yang terbiar. Orang yang paling memahami sesuatu masalah mungkin masih hadir dalam mesyuarat, mendengar cadangan dan menjangka akibatnya. Kali ini dia membiarkannya berlalu. Mesyuarat selesai lebih cepat. Pimpinan pulang dengan tanggapan bahawa semua orang bersetuju. Padahal persetujuan yang disangka itu mungkin menandakan warga kampus sudah hilang keyakinan bahawa pandangan mereka akan dipertimbangkan.
PAC mengesyorkan perlindungan pemberi maklumat diperkukuh dan tempoh wajib ditetapkan untuk menyiasat aduan. Setiap lembaga universiti boleh bermula dengan meminta pengurusan membentangkan aduan paling lama yang masih tertunggak. Bilakah ia diterima, di manakah tindakan terhenti dan apakah yang sudah dimaklumkan kepada pengadu? Jika aduan melibatkan pengurusan tertinggi, pengadu mesti mempunyai jalan untuk didengar tanpa mengharapkan ihsan orang yang diadukannya.
Titah yang mengingatkan ilmuwan supaya mempertahankan kebenaran wajar disambut dengan tindakan oleh mereka yang memegang amanah. Jika suatu hari kelemahan yang sudah lama diketahui warga kampus akhirnya terbongkar, janganlah tergesa-gesa bertanya, “Mengapa tiada siapa memberitahu kami?”Ada yang pernah memberitahu. Apakah yang kita lakukan terhadap tegurannya, dan bagaimana kita melayan orangnya? Rumusannya, sebelum ini persoalannya kenapa tiada yang berani menegur. Kini soalannya bertukar menjadi kenapa teguran tidak diambil tindakan sewajarnya?
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.