InquirerProvinces across Luzon ready funds, water measures for El NiñoDaily MaverickPGA Tour not planning return program for ex-LIV players, CEO saysInquirer EntertainmentBLACKPINK left off YG’s exclusive artist list, sparking fan worryZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFThe Sydney Morning HeraldMelbourne Cup runner suspected to be horse found in Sydney skip binRapplerLIVE UPDATES: 49th ASEAN Summit in ManilaGIGAZINENVIDIAが小型AIスパコンDGX Sparkを4台つなげてメモリ容量512GBを実現する「DGX Spark Developer Kit」を発表、最大700Bのモデルを実行可能中国新闻网2026Tennis123分级赛全国总决赛落幕Lenta.ruЭкс-премьер Украины указал на незаконность продления полномочий ЗеленскогоESPN DeportesEN VIVO: Chargers controlan a Ravens en BaltimoreCumhuriyetSon Dakika! SÖZCÜ TV ve Sözcü.com.tr'ye kayyım atandıSouth China Morning PostRoyal row claims Malaysian chief minister as Umno hunts a successor
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, November 17, 2026

Ismail wajar berundur, tetapi tanggungjawab belum selesai

Translate

tajuddin rasdi

Belum pun genap sehari selepas artikel saya yang mempersoalkan kewibawaan Ismail Lasim dan 10 bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang cuba menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diterbitkan, muncul satu perkembangan mengejutkan.

Secara tiba-tiba, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abd Kadir mengumumkan secara rasmi Ismail telah meletakkan jawatan.

Reaksi pertama saya adalah lega. Pada pandangan saya, keputusan Adun Juasseh itu untuk berundur membuka peluang kepada Negeri Sembilan memulakan lembaran baharu.

Apa yang berlaku sejak beberapa minggu lalu meninggalkan kesan mendalam terhadap landskap politik dan adat istiadat negeri itu. Cubaan mencabar kedudukan Yang Dipertuan Besar sudah melampaui batas yang sukar dimaafkan oleh ramai rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik.

Justeru, peletakan jawatan Ismail membuka ruang memulihkan hubungan antara kerajaan negeri dan institusi diraja, sekali gus membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan dalam semangat perdamaian dan kestabilan.

Dalam hal ini, pengunduran Ismail boleh dianggap sebagai satu pengorbanan, walaupun beliau hanya memegang jawatan menteri besar untuk tempoh yang amat singkat. Jika keputusan itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan memelihara keharmonian negeri, maka langkah tersebut wajar dihargai.

Namun, peletakan jawatan semata-mata belum memadai.

Ismail dan 10 bekas exco yang bersama-sama dengannya dalam kemelut ini juga perlu secara terbuka menjauhkan diri daripada mana-mana kelompok dalam institusi adat yang masih enggan mengakui kesalahan mereka.

Jika mereka terus berdiam diri, pelbagai persoalan akan terus timbul. Sekiranya benar-benar menyesal, mereka perlu menyatakannya dengan jelas dan tanpa berselindung. Rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat jaminan bahawa tindakan luar biasa yang mencerminkan ketidaksetiaan dan kurangnya rasa hormat terhadap Yang Dipertuan Besar tidak akan berulang.

Walaupun perkembangan ini membawa kelegaan dan membuka peluang untuk memulakan lembaran baharu, masih terdapat beberapa persoalan yang belum terjawab.

Persoalan paling jelas ialah mengapa baru sekarang? Mengapa Ismail tidak mengumumkan sendiri peletakan jawatannya? Mengapa berita itu disampaikan oleh setiausaha agung BN, bukannya oleh beliau sendiri sebagai menteri besar?

Lebih penting, mengapa keputusan itu diumumkan sebelum Ismail menghadap Tuanku Muhriz, sedangkan beliau dilaporkan telah memohon perkenan untuk menghadap baginda selepas menyerahkan surat menarik balik usaha terdahulu untuk menyingkirkan pemerintah negeri itu?

Persoalan ini penting kerana masa sesuatu keputusan dibuat kadangkala dapat memberikan gambaran tentang sebab di sebalik tindakan tersebut.

Sekiranya Ismail terlebih dahulu menghadap Tuanku Muhriz dan permohonan maafnya tidak mendapat sambutan yang diharapkan, keputusan untuk meletakkan jawatan tentu lebih mudah difahami, malah mungkin dianggap sebagai langkah yang terhormat.

Dalam keadaan itu, seseorang menteri besar mungkin menyedari bahawa hubungan kepercayaan yang diperlukan untuk mentadbir negeri sudah terlalu terjejas dan sukar dipulihkan. Jika itulah urutan peristiwa yang berlaku, keputusan berundur mempunyai asas politik dan moral yang lebih jelas.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pengumuman peletakan jawatan dibuat terlebih dahulu.

Urutan peristiwa yang luar biasa ini menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah keputusan berundur benar-benar datang daripada Ismail sendiri? Atau adakah beliau menerima cadangan, galakan atau mungkin tekanan daripada pihak lain yang merasakan kemelut itu sudah sampai ke tahap memerlukan campur tangan segera?

Saya tidak mempunyai jawapan kepada persoalan itu. Namun, sukar untuk tidak tertanya-tanya tentang keadaan yang membawa kepada pengumuman berkenaan.

Dalam kemelut politik seperti yang kita saksikan, ada masanya persengketaan lama perlu diketepikan demi kepentingan bersama. Namun, perdamaian yang benar-benar bermakna memerlukan kejelasan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Ia tidak boleh bergantung semata-mata pada kenyataan yang menunjukkan niat baik. Rakyat berhak mengetahui bagaimana konflik serius ini tercetus dan mengapa ia berakhir secara begitu mendadak.

Perkara ini lebih penting kerana keseluruhan kemelut itu tidak menggambarkan kepimpinan yang tenang dan matang dalam membuat keputusan.

Sekiranya permohonan maaf dibuat lebih awal, banyak ketidakpastian mungkin dapat dielakkan. Rakyat juga tidak perlu melalui ketegangan politik dan keadaan yang memalukan institusi negeri selama berminggu-minggu.

Sebaliknya, kemelut itu berlarutan sehingga menghampiri persidangan DUN, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa tindakan yang diambil lebih didorong oleh desakan politik yang semakin kuat, bukannya penyesalan yang ikhlas.

Dalam memegang jawatan awam, persepsi rakyat juga penting.

Seseorang pemimpin bukan hanya dinilai berdasarkan keputusan akhir yang dibuat, tetapi juga sejauh mana beliau cepat menyedari kesilapan dan mengambil langkah membetulkannya, walaupun terpaksa menanggung kerugian sendiri.

Sebaliknya, penyesalan yang hanya ditunjukkan selepas sekian lama boleh dilihat bukan sebagai tanda rendah diri, tetapi seolah-olah tindakan yang dibuat setelah mengambil kira kepentingan tertentu.

Namun, apa yang berlaku sudah pun berlaku. Keutamaan sekarang mestilah kebajikan Negeri Sembilan dan rakyatnya.

Persaingan antara kelompok politik, cita-cita peribadi dan pertelingkahan antara institusi tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab lebih besar untuk mentadbir negeri dengan baik. Negeri Sembilan memerlukan kestabilan, pentadbiran yang cekap dan komitmen baharu untuk berkhidmat kepada rakyat.

Paling penting, negeri itu memerlukan hubungan yang sihat dan saling menghormati antara kerajaan negeri dengan institusi istana.

Walau apa pun pandangan politik seseorang, Yang Dipertuan Besar kekal sebagai lambang penting kesinambungan, kewibawaan dan kepimpinan berteraskan nilai moral dalam kerangka perlembagaan serta adat Negeri Sembilan yang tersendiri.

Saya berharap menteri besar baharu akan menjalankan tanggungjawabnya dengan pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap peranan tersebut.

Negeri Sembilan telah melalui satu episod yang tidak sepatutnya berlaku dan amat dikesali. Namun, setiap krisis juga membuka peluang untuk melakukan pembaharuan.

Kita tidak harus lupa kuasa politik hanya bersifat sementara, sedangkan kepercayaan rakyat dan keutuhan institusi jauh lebih penting serta berkekalan. Jika mereka yang diberi amanah memimpin dapat mengambil pengajaran daripada kemelut ini, mungkin masih ada hikmah yang boleh diperoleh daripada peristiwa tersebut.

Dengan harapan itu, saya berdoa agar kebijaksanaan mengatasi segala pertelingkahan, keyakinan rakyat dapat dipulihkan dan Negeri Sembilan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang bersatu, stabil dan lebih kukuh daripada sebelumnya.

Semoga tuhan memberikan petunjuk kepada kita semua.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.