Pemimpin Umno, PAS bidas Ramasamy cuba ‘tabur racun halus’

Pemimpin Umno dan PAS menepis amaran Pengerusi Urimai, P Ramasamy, kerjasama parti tersebut boleh memberi kelebihan kepada PAS sehingga mengatasi Umno di kawasan majoriti Melayu.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali, berkata persefahaman Barisan Nasional (BN) dan PAS bukan semata-mata untuk kelangsungan parti, sebaliknya demi kepentingan politik Melayu dan Islam.
Beliau menyifatkan kenyataan Ramasamy sebagai cubaan ‘menabur racun halus’ bagi menggagalkan usaha itu.
“Itu asas terpenting. Adapun isu lain melibatkan kerusi, ia memerlukan perundingan bersifat menang-menang selagi tidak mengganggu tujuan asal persefahaman.
“Dalam semua keadaan, yang untung adalah Islam dan Melayu,” katanya kepada FMT.
Khairuddin berkata, rundingan BN-PAS juga bukan untuk menentukan parti mana menjadi ‘abang besar’, sebaliknya berasaskan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.
“Tiada istilah ‘abang besar’ dalam perundingan. Yang penting saling menghormati dan bertolak ansur.
“Perpaduan Islam dan Melayu pula mesti menjangkau parti politik, malah NGO serta tokoh Islam di luar lingkungan parti,” katanya.
Sementara itu, Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, berkata amaran Ramasamy tidak akan membantutkan usaha penyatuan Melayu dan Islam menerusi persefahaman BN-PAS.
Katanya, penyatuan Melayu dan Islam tidak seharusnya dilihat dari sudut politik semata-mata kerana ia turut berkait dengan tuntutan agama.
“Saya yakin akar umbi PAS atau Umno akan memahami dan patuh kepada sebarang arahan pimpinan,” katanya.
Iskandar turut menolak persoalan parti mana akan menjadi ‘abang besar’ jika kerjasama BN-PAS direalisasikan menjelang PRU16.
“Soal ‘abang besar’ tidak timbul kerana PAS dan Umno ada kelebihan masing-masing.
“Umno mungkin dalam kerajaan, tetapi PAS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen. Dari segi Adun, PAS mempunyai 151 manakala Umno 102, dan kedua-duanya mempunyai menteri besar,” katanya.
Menurutnya, perkara lebih penting ialah persefahaman dan hubungan berdasarkan ukhuwah Islamiah.
Semalam, Ramasamy memberi amaran kepada Umno supaya mempertimbangkan risiko ‘terbesar’ jika bekerjasama dengan PAS pada PRU16.
Walaupun Umno akan memperoleh kelebihan pilihan raya dalam masa terdekat melalui kerjasama bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu itu, Ramasamy berkata PAS boleh mengatasi malah mengetepikan BN di beberapa kawasan majoriti Melayu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.