Suspek tembakan Krakow meninggal dunia

Seorang lelaki bersenjata yang membunuh enam individu dalam kejadian tembakan di Krakow dan bandar Ostrowiec Swietokrzyski di timur Poland meninggal dunia di hospital, menurut polis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Gabenor wilayah Krzysztof Kleczar memberitahu penyiar TVN24, suspek meninggal dunia kira-kira 4.30 pagi waktu tempatan (0330 GMT) akibat kecederaan dialami semasa berbalas tembak dengan polis.
Insiden berlaku pada petang Sabtu berhampiran Dataran Pasar Utama Krakow, antara destinasi pelancongan paling sibuk di bandar berkenaan.
Pada Sabtu, pihak berkuasa Poland mengesahkan enam individu terbunuh dalam insiden itu, termasuk seorang warga Britain, manakala 16 lagi cedera, termasuk lima warga asing, dua anggota polis, dan suspek.
Tiga lagi mayat ditemukan di rumah suspek yang dikenal pasti sebagai ibu bapa dan adik perempuan suspek berusia 25 tahun itu.
Polis memaklumkan, suspek ditahan selepas ditembak ketika berbalas tembakan dengan pihak berkuasa sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan.
“Keadaannya sangat serius sejak awal lagi dan dikategorikan sebagai kritikal,” kata Kleczar sambil menambah doktor telah melakukan sekurang-kurangnya tiga pembedahan dalam usaha menyelamatkan nyawanya.
Pada Ahad, Pendakwa raya Poland membuka siasatan berhubung insiden tembakan yang meragut nyawa itu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.