Adun Kota Kemuning mahu 47 projek tebatan banjir di Selangor dipercepat

Adun Kota Kemuning, S Preakas menggesa pelaksanaan 47 projek tebatan banjir di Selangor yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 negeri itu dipercepat demi kesejahteraan penduduk.
Preakas berkata beliau mengalu-alukan peruntukan RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir di Selangor yang diumumkan Menteri Besar Amirudin Shari semalam ketika membentangkan belanjawan negeri itu bagi 2027.
“Bagaimanapun, projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini perlu disusuli dengan pelaksanaan segera, termasuk mempercepat proses kelulusan dan memulakan reka bentuk projek lebih awal.

“Bagi keluarga yang terpaksa berjaga malam memerhatikan paras air setiap kali hujan lebat, kemajuan paling bermakna ialah apabila risiko banjir di kawasan mereka benar-benar berkurang,” katanya kepada FMT.
Semalam, Amirudin memberitahu DUN Selangor dana RM36.45 juta itu adalah untuk membiayai 30 projek sambungan dan 17 projek baharu di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Beliau berkata sebanyak RM3.3 bilion diperuntukan untuk belanjawan 2027 negeri itu dengan RM1.9 bilion atau 57.6% diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.4 bilion (42.4%) bagi tujuan pembangunan.
Sementara itu, Preakas berkata sebagai wakil rakyat Kota Kemuning, beliau akan terus membawa isu dan keperluan penduduk Taman Sri Muda, Jalan Bukit Kemuning Batu 5 dan Batu 8, Kampung Bukit Lanchong serta Taman Bukit Kemuning kepada kerajaan negeri, JPS dan pihak berkuasa tempatan.
“Saya akan meminta jadual kerja dan kemas kini berkala mengenai penyelenggaraan saliran, kesiapsiagaan pam dan kerja naik taraf yang melibatkan kawasan ini,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.