Cadangan tubuh Suruhanjaya Keharmonian Negara tidak diteruskan

Kementerian Perpaduan Negara membuat keputusan untuk tidak meneruskan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Negara (SKN), selepas membangkitkan semula cadangan itu pada April.
Menteri Aaron Ago Dagang berkata, keputusan dibuat selepas dua sesi libat urus melibatkan kumpulan masyarakat sivil, agensi kerajaan, pakar akademik, pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan lain bagi menilai keperluan, skop, implikasi, cabaran dan kebolehlaksanaan.
“Selepas mengambil kira pandangan semua pihak serta penelitian lanjut Kementerian, KPN memutuskan untuk tidak meneruskan penubuhan SKN sebagai entiti baharu,” menurut jawapan bertulis di laman Parlimen.
Katanya, kementerian akan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi sedia ada, iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Komuniti Rukun Tetangga dan Mediator Komuniti, yang dilihat sebagai pendekatan yang praktikal, responsif dan kos efektif untuk memperkukuh pengurusan keharmonian sosial.
“Di samping itu, cadangan ini juga dapat mengelakkan pertindihan fungsi dan kos penubuhan entiti baharu, di samping memanfaatkan struktur, jaringan dan instrumen sedia ada.
Majlis Konsultasi Perpaduan Negara menyediakan tiga draf Rang Undang-undang (RUU) termasuk RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional (SKRN), pada 2015.
Cadangan penubuhan SKRN pula telah dipersetujui pada dasarnya, namun pelaksanaannya tertangguh berikutan pertindihan bidang kuasa dengan agensi sedia ada seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan polis.
Pada April 2020, kerajaan memutuskan agar cadangan tersebut tidak diteruskan.
Pada April tahun ini, Aaron mengumumkan JPNIN akan mengerakkan semula usaha ke arah menggubal RUU SKRN, dengan penekanan kepada pendekatan pencegahan dan pendamaian, selepas mengambil kira peningkatan polemik berkaitan perpaduan yang menggugat keharmonian masyarakat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.