4 lagi mangsa kepala air ditemui lemas


Empat lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, ditemui lemas pagi ini, menjadikan lima mangsa dikesan setakat ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata tiga mangsa ditemui tersekat di kawasan Jambatan Senget dekat Camp Site Sungai Luit kira-kira 9.20 pagi, manakala seorang lagi ditemui dekat kawasan sama pada 10.20 pagi tadi.
“Semua mangsa kini dalam usaha dikeluarkan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya menurut Sinar Harian.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan dikenali V Vijayan, 36, ditemui lemas di kawasan Jambatan Pertak pada 1.30 pagi tadi.
Terdahulu, kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor, iaitu Sektor A dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, Sektor B dari Lubuk Pertak ke Jambatan Dam, Sektor C membabitkan kawasan Jambatan Dam dan Sektor D di kawasan empangan.
Lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air di beberapa lokasi sekitar Sungai Pertak petang semalam. Mereka terdiri daripada empat warga India dan masing-masing seorang warga Yaman, warga Nepal, warga Sri Lanka serta lelaki tempatan.
Selain dihanyutkan arus, beberapa kumpulan pengunjung dilaporkan terkandas di kawasan Lata Jebus, Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.