InquirerPangasinan folk fight to save vanishing fishing groundThe Jerusalem Post'True Crime Community' draws teens to idolize school shooters, carry out copycat killings - reportDaily MaverickUPDATE 6-US lawmakers criticize Nvidia decision to reinstate Huang as CEOZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFGhaflaPastor Kanyari Defends Morgan Bahati Against Critics Over Debut Song ZozaVanguardNRS urges investigative reporting to curb illicit financial flows中国新闻网在一起,向未来:鸿蒙操作系统终端设备数突破1亿Antara NewsHouse urges govt speed up spending to sustain economic growthn-tvDeutsche wollen mehr Diplomatie: Umfrage: Mehrheit gegen militärische Ukraine-UnterstützungDaily MailQUENTIN LETTS: Into the dentist's chair we go, the drill going WHEEEE as PM restarts the Brexit civil warE! OnlineChristopher Lloyd, 88, Gives Look at Romance With Wife Lisa Lloyd, 56سكاي نيوز عربيةلجنة الكونغرس تستدعي رئيس "إنفيديا" بشأن تهريب رقائق للصين
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, November 24, 2026

Ajar anak jadi macam Ahmad Maslan

Translate

Hari itu Ahmad Maslan berpantun di Dewan Rakyat. Selain terkenal dengan resipi nasi gorengnya, Timbalan menteri kerja raya itu memang gemar berpantun. Tapi, bukan tentang kenapa dan apa sebab beliau berpantun yang ingin saya ceritakan. Tolak ke tepi bab politik, saya rasa ada sesuatu yang wajar kita hargai daripada kegemaran beliau itu. Bagi saya pantun perlu diangkat sebagai pusaka negara dan mesti diajar dengan serius di sekolah ketika kita mencari formula lain dalam usaha menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif.

Pantun mampu mengasah kemahiran tersebut. Hari ini tak ramai orang mampu berpantun secara spontan. Kalau diberikan pen dan kertas serta masa setengah jam, mungkin ramai yang boleh menghasilkan pantun empat kerat. Itupun pantun yang asal boleh sajalah! Bukan pantun yang betul-betul bermutu tinggi. Tetapi bagaimana jika kita perlu melakukannya dalam masa beberapa saat atau membalas pantun secara spontan? Saya percaya kita memang gagal. Di situlah menariknya pantun sebagai penajam akal.

Kita selalu membicarakan pantun sebagai warisan kesusasteraan Melayu. Tetapi jarang sekali kita membicarakannya dari sudut keupayaan kognitif manusia. Bagi saya, pantun bukan sekadar permainan bahasa, tetapi juga suatu bentuk latihan ketangkasan berfikir. Bayangkan apa yang berlaku dalam kepala seseorang ketika mencipta pantun secara spontan. Kita perlu memikirkan perkara yang hendak disampaikan, mencari perkataan yang sesuai, menyusun ayat, memadankan rima serta membina pembayang. Semua itu dilakukan hampir serentak. Belum lagi kalau pantun itu perlu dijawab apabila ada yang menjualnya.

Otak perlu bekerja untuk memahami maksud yang disampaikan oleh orang lain, merumuskan jawapan dan menterjemahkan jawapan itu dalam bentuk puisi yang mempunyai peraturan tertentu. Ini bukan mudah. Cuma, selama ini kita lihat pantun seolah-olah dipermainkan dan dijadikan bahan lawak sahaja dalam rancangan hiburan atau persembahan komedi. Kita kena serius sekali-sekala.

Dalam bidang pendidikan, kita sering bercakap tentang pemikiran kritis. Kita mahu anak-anak kita mempunyai kemampuan menganalisis, mentafsir, membuat perkaitan dan menyelesaikan masalah secara kreatif. Menariknya, sebahagian daripada kemahiran berfikir itu sudah lama dilatih oleh nenek moyang kita melalui suatu kegiatan yang hari ini sering kita anggap sekadar hiburan.

Bukanlah bermaksud syarat hendak berpantun mestilah mempunyai pemikiran kritis yang tinggi. Tetapi proses mencipta pantun itu sendiri memerlukan beberapa kemahiran mental yang amat berguna dalam membentuk pemikiran seseorang. Pantun juga ada tingkatannya. Ada pantun yang mudah, sekadar memadankan bunyi di hujung baris. Ada pula pantun yang pembayangnya mempunyai hubungan makna dengan maksud yang hendak disampaikan. Lebih tinggi lagi apabila pencipta pantun menggunakan perlambangan alam untuk menyampaikan falsafah kehidupan. Contohnya pantun ini:-

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Betapa ekonomisnya penggunaan bahasa dalam menyampaikan suatu pemikiran. Tak perlu panjang berjela, empat baris sahaja sudah cukup untuk membicarakan nilai kemanusiaan. Orang Melayu dahulu memerhatikan alam. Mereka melihat tumbuh-tumbuhan, haiwan, sungai, laut dan perubahan cuaca. Daripada pemerhatian itu, mereka membina perlambangan dan menghubungkannya dengan kehidupan manusia. Ini bukan sekadar persoalan penguasaan bahasa. Ini juga persoalan keupayaan membuat perkaitan antara dua perkara yang pada zahirnya kelihatan tidak mempunyai hubungan. Kemampuan membuat perkaitan inilah yang dimaksudkan sebagai salah satu ciri pemikiran kreatif.

Menteri pendidikan patut beri perhatian yang serius akan kemahiran yang sudah lama kita miliki ini. Pantun bukan sekadar diajar sebagai salah satu bentuk puisi tradisional dalam mata pelajaran bahasa Melayu semata-mata tetapi dijadikan kegiatan yang melatih anak-anak berfikir secara spontan. Adakan sesi jual beli pantun di dalam kelas. Seorang pelajar mengemukakan persoalan dalam bentuk pantun dan seorang lagi menjawabnya juga dalam bentuk pantun. Biarkan mereka belajar sambil berseronok walaupun pada permulaannya mungkin mutu pantun masih rendah. Lama-kelamaan sudah tentu pelajar akan jadi mahir serta tangkas seperti pantun lama ini:

Limau purut lebat di pangkal,
Batang mengkudu condong uratnya;
Hujan ribut dapat ditangkal,
Hati yang rindu apa ubatnya?

Perhatikan kehalusannya. Jika anak-anak kita mampu mencipta pantun sebegini bermakna mereka telah memahami falsafah hubungan perasaan manusia dengan fenomena alam. Hujan ribut yang dahsyat sekalipun masih dianggap mampu ditangkal, tetapi kerinduan yang tidak kelihatan itu belum tentu mampu diubati.

Bayangkan juga jika seorang guru sains meminta anak muridnya menerangkan sesuatu konsep sains melalui pantun. Sudahlah perlu memahami konsep itu, mereka perlu pula memikirkan cara menyampaikannya dalam empat baris. Tentulah ada yang secara sinis mempersoalkan mengapa perlu menyusahkan diri sedangkan penerangan biasa lebih mudah. Inilah yang saya maksudkan sejak awal lagi ia bertujuan untuk mencabar kemampuan minda. Contoh lucunya ialah mamat-mamat sado yang mengangkat besi di gimnasium pun boleh kita tanyakan soalan yang sama. Mengapa bersusah payah mengangkat besi berat sebab lepas itu letak semula besi tersebut di tempat asalnya. Tapi kita segera faham yang dia sedang melatih ototnya, manakala orang yang berpantun pula sedang melatih akalnya.

Dalam zaman kecerdasan buatan hari ini, kita boleh meminta komputer menghasilkan puluhan pantun dalam beberapa saat. Tetapi tujuan mengajar anak-anak berpantun bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pantun yang indah. Yang lebih penting ialah proses mental yang dilalui untuk menghasilkan pantun tersebut. Kita tidak mahu sekadar melahirkan generasi yang tahu mendapatkan jawapan. Kita juga mahu melahirkan generasi yang tahu bagaimana hendak berfikir untuk mendapatkan jawapan. Bertuahnya kita ialah kita sudah ada kaedah yang praktikal dalam hal ini tetapi kita kesampingkannya. Orang tua kita dulu apabila berpantun macam, GhatGpt. Prompt saja terus keluar jawapan.

Satu lagi keistimewaan pantun ialah kemampuannya menyampaikan teguran secara halus. Orang boleh berselisih pendapat, menyindir, menegur, malah berbahas tanpa semestinya menggunakan bahasa yang kasar. Dalam zaman manusia begitu mudah memaki hamun di media sosial, alangkah menariknya jika mereka perlu berpantun dahulu sebelum mahu bergaduh. Sekurang-kurangnya ada tapisan sedikit sebelum menghina orang. Kedengaran mungkin lucu, tapi kita lihatlah hari ini berapa ramai mengalami kemurungan akibat dimaki hamun di media sosial. Barangkali ada yang akan membatalkan hasrat untuk bergaduh kerana terlalu sibuk mencari pembayang. Lihatlah ketika Ahmad Maslan berpantun. Bunyinya tenang sahaja tetapi ‘makan dalam’. Berbanding beberapa Ahli Parlimen yang gemar menjerit dan bertempik sehingga penyokong sendiri pun naik malu.

Kita patut berbangga dengan warisan budaya kita. Namun, kebanggaan itu tidak seharusnya terhenti pada usaha memelihara bentuknya semata-mata. Kita juga harus menggali kebijaksanaan di sebalik penciptaannya dan mencari bagaimana ia boleh dimanfaatkan dalam kehidupan moden. Pantun bukan sekadar khazanah bahasa. Ia juga khazanah pemikiran. Nenek moyang kita bukan sahaja mewariskan keindahan berbahasa, malah suatu kaedah untuk melatih ketangkasan akal.

Kalau kita sendiri kurang menghargai keistimewaan pantun, tahukah kita bahawa hampir dua abad dahulu sasterawan Perancis sudah tertarik dengannya? Pada tahun 1829, Victor Hugo, pengarang Les Misérables, memperkenalkan pantun berkait Melayu menerusi antologi puisinya, Les Orientales. Bentuk puisi ini kemudian diadaptasi oleh penyair Perancis sehingga dikenali sebagai pantoum.

Bayangkan, ketika orang Eropah sedang meneroka keunikan struktur puisi warisan kita, nenek moyang kita sudah menjadikannya sebahagian daripada cara mereka berkomunikasi dalam kehidupan seharian. Sayang sekali jika kita hanya mewarisi pantunnya tetapi tidak mewarisi kecerdasan berfikir yang melahirkan pantun itu. Dan dalam bab ini, saya menghargai kegemaran Ahmad Maslan berpantun. Agak-agak bernas atau tidak cadangan saya agar kemahiran berpantun diajar secara serius di sekolah?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.