Pendirian PN terhadap pengampunan Najib uji prinsip Pejuang

Seorang penganalisis melihat Pejuang seolah-olah berada di persimpangan susulan pengampunan bersyarat diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak serta cara rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) menyambut keputusan itu.
Asrul Hadi, naib presiden bersekutu di The Asia Group berkata Pejuang kini berdepan ujian untuk mempertahankan prinsipnya sebagai anggota baharu PN, selepas lantang mengkritik Najib serta tampil sebagai parti yang menentang rasuah sebelum ini.
Katanya, penentangan terhadap Najib dan budaya politik dikaitkan dengan skandal 1MDB adalah asas kepada penubuhan Pejuang, sekali gus membezakannya daripada parti berteraskan Melayu yang lain.
“Jika Pejuang melonggarkan pendirian antirasuahnya semata-mata untuk terus mendapat akses kepada jentera PN, parti itu mungkin dapat bertahan dari segi organisasi tetapi menjadi tidak relevan dari sudut politik kerana pengundi tidak lagi memahami apa yang diperjuangkannya,” katanya kepada FMT.

Asrul mengakui Pejuang yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 2021, sememangnya sudah lemah dan pengundurannya daripada PN boleh menyebabkan parti itu semakin tidak relevan dalam politik.
Bagaimanapun, katanya PN yang disertai Pejuang kini bukan lagi entiti sama ketika diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dengan PAS, ketika ini menerajui gabungan itu dan dilihat semakin mesra dengan Najib serta Umno.
Beliau memberi amaran, ketidakjelasan berpanjangan mengenai perkara itu boleh menyebabkan sebahagian kecil pemimpin dan anggota Pejuang yang masih ada menjauhkan diri.
Asrul turut berkata, ruang untuk Pejuang mungkin terhad jika berlaku kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN), memandangkan sebarang pengaturan pilihan raya dijangka memberi keutamaan kepada Umno, PAS dan Wawasan pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.
“Umno mempunyai jenama nasionalis Melayu dan jentera yang kukuh, PAS ada rangkaian akar umbi, manakala Wawasan pimpinan Hamzah membawa wakil rakyat serta rangkaian bekas Bersatu.
“Pejuang berisiko dianggap sebagai rakan pinggiran. Parti itu perlu menentukan sama ada akses kepada jentera pilihan raya PN berbaloi dengan hakisan identitinya dan sama ada pemain utama PN benar-benar memerlukan Pejuang.”
Di bawah pengampunan bersyarat bagi sabitan Najib dalam kes SRC International, beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di rumah jika membayar denda RM50 juta, yang sudah dikurangkan daripada jumlah asal RM210 juta.
Umno melancarkan tabung untuk membantu bekas presidennya melunaskan denda itu, manakala PAS berkata pihaknya percaya Najib masih boleh menyumbang kepada negara walaupun menjalani tahanan di rumah. Wawasan pula berkata pihaknya bersyukur keputusan itu menamatkan polemik berhubung pengampunan Najib.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali, menggesa penjelasan mengenai mekanisme dan syarat bagi banduan diberikan tahanan di rumah, sambil memberi amaran ia tidak hanya dibenarkan kepada golongan elit.
Asrul menyifatkan kenyataan Rafique sebagai ‘berhati-hati’, secara halus menegaskan pendirian Pejuang mengenai Najib tanpa mempersoalkan kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan atau berdepan secara langsung dengan PAS dan Umno.
“Beliau juga mungkin sedang menguji sejauh mana ruang yang ada untuk Pejuang mengekalkan identiti bebas dalam PN. Namun akhirnya, parti itu perlu menunjukkan sama ada ia akan mempertahankan pendirian tersebut apabila berbuat demikian membawa kesan politik yang sebenar.”
Pragmatik dan kelangsungan lebih penting
Bagaimanapun, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata Pejuang perlu lebih pragmatik dalam perkara itu, sambil menegaskan tahap relevan dan kewujudan jangka panjang parti tersebut menjadi taruhan.

Katanya, kekal bersama PN membolehkan Pejuang memenangi beberapa kerusi Parlimen, malah berkemungkinan mendapat tempat dalam Jemaah Menteri jika gabungan itu berjaya membentuk dan menerajui kerajaan selepas PRU akan datang.
Beliau berkata, semua faktor itu menentukan kelangsungan dan tahap relevan sesebuah parti.
Fauzi berkata, Pejuang boleh memilih untuk mengambil pendirian lebih berprinsip mengenai Najib dan isu rasuah secara umum dalam perbincangan dalaman PN.
“Kehadiran Pejuang dalam PN juga mungkin penting kepada gabungan itu kerana ia menunjukkan demokrasi dalaman PN dengan membenarkan perbezaan pendapat. Tambahan pula, tidak semua dalam PN akan menerima layanan istimewa BN terhadap Najib, walaupun hubungan BN dengan PN semakin rapat.”
Katanya, kenyataan Rafique tidak mungkin menjejaskan hubungan dengan PAS atau Umno kerana Mukhriz Mahathir ialah presiden Pejuang dan tidak menyentuh mengenai pengampunan Najib.
“Selagi Mukhriz berdiam diri mengenai perkara itu, mereka tidak sepatutnya mengesyaki bahawa Pejuang berminat untuk menyimpang daripada pendirian rasmi PN buat masa ini,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.