PRN Melaka: BN lebarkan majoriti di semua 20 kerusi dipertahan

Barisan Nasional (BN) bukan sahaja mengekalkan penguasaan 21 kerusi pada PRN Melaka, malah mencatat peningkatan majoriti kemenangan di semua 20 DUN berjaya dipertahankannya berbanding pilihan raya 2021.
Berdasarkan perbandingan keputusan kedua-dua PRN, 10 daripada 20 kerusi itu sebelum ini dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi, namun kali ini semuanya mencatat majoriti melebihi 2,000 undi.
Peningkatan paling ketara direkodkan di Serkam apabila calon BN Azman Abdullah menang dengan majoriti 12,689 undi, berbanding hanya 79 undi yang diraih penyandang terdahulu, Zaidi Attan, pada 2021.
Azman memperoleh 14,632 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Faiq Azman, yang meraih 1,943 undi.
Di Ayer Molek, BN turut mencatat peningkatan besar apabila Ridhwan Ali menang dengan majoriti 13,108 undi, berbanding 2,802 undi yang diperoleh gabungan itu pada PRN lalu menerusi Rahmad Mariman.
Penyandang Duyong, Noor Helmy Abdul Halem, pula menang dengan majoriti 10,040 undi, meningkat mendadak daripada hanya 200 undi pada 2021.
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh turut mengukuhkan kedudukannya di Tanjung Bidara apabila mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 8,615 undi, berbanding kemenangan tipis 364 undi lima tahun lalu.
Peningkatan sama turut dicatatkan di Pengkalan Batu apabila majoriti BN melonjak daripada 131 kepada 6,358 undi, manakala Kelebang menyaksikan majoriti Naib Presiden MCA Lim Ban Hong meningkat daripada 876 kepada 7,035 undi.
Malah, Machap Jaya yang mencatat majoriti paling kecil dalam kalangan 20 kerusi dipertahankan BN kali ini turut menyaksikan peningkatan daripada 938 kepada 2,236 undi.
Secara keseluruhan, BN mengekalkan 20 kerusi yang dimenanginya pada 2021 dan menambah Sungai Udang. BN bertukar kerusi itu dengan rakan strategiknya PN yang bertanding di Paya Rumput.
Kerjasama BN-PN kali ini turut menyaksikan kedua-dua gabungan menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, sekali gus memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.