Manifesto PH fokus rumah, pendapatan rakyat

Pakatan Harapan (PH) akan memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik dan peningkatan pendapatan rakyat dalam manifesto PRN Melaka yang akan dilancarkan dalam beberapa hari lagi.
Sekretariat Jabatan Pilihan Raya PH berkata manifesto itu turut merangkumi sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta usaha memudahkan rakyat mendapatkan bantuan secara telus.
“Keutamaan kami ialah kediaman yang benar-benar mampu dibeli, pendapatan lebih baik, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan yang mudah diakses dan telus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut PH yang akan bertanding 24 kerusi, perincian setiap tawaran akan diumumkan ketika pelancaran manifesto supaya pengundi dapat menilai sendiri komitmen yang dikemukakan.
Gabungan itu berkata tawaran berkenaan mengambil kira maklum balas penduduk mengenai bil air, kesukaran memiliki rumah, peluang pekerjaan dengan gaji setimpal serta tekanan dihadapi peniaga kecil.
Selain isu ekonomi, masalah banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan, kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam turut dibangkitkan.
PH berkata isu berkaitan Melaka Sentral, projek yang belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keadaan lokasi pelancongan juga memerlukan perhatian.
“Papan tanda boleh ditukar dan slogan boleh diperbaharui, tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasilnya,” katanya.
Dalam pada itu, PH turut mempersoalkan rekod pentadbiran BN yang memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka 2021.
Katanya, mandat besar itu datang dengan tanggungjawab untuk menjelaskan tindakan diambil terhadap masalah rakyat yang masih dibangkitkan menjelang PRN kali ini.
“BN perlu menjelaskan apa yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan, bukannya kembali meminta kepercayaan seolah-olah baru hendak mentadbir Melaka,” katanya.
PH berkata kempen bertemakan “Melaka Rumah Kita” akan diteruskan menerusi pertemuan dengan penduduk bagi membincangkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka.
Gabungan itu berkata kempen sepatutnya memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan tawaran yang boleh dinilai pengundi.
“Kuasa mentadbir bukan hak kekal mana-mana parti, dan pengundi tidak berhutang mandat kepada sesiapa,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.