Platform media sosial perlu kemuka pelan keselamatan dalam talian 28 Dis ini

Penyedia perkhidmatan media sosial berlesen perlu mengemukakan Pelan Keselamatan Dalam Talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selewat-lewatnya 28 Dis, selaras dengan kewajipan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pelan itu, perlu memperincikan langkah dan perancangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan penyedia platform, bagi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat kepada pengguna.
Beliau berkata platform media sosial juga dijangka melaksanakan kewajipan pengesahan umur pengguna pada awal Januari 2027, selepas tamat tempoh peralihan yang sedang berlangsung.
“Sekarang kita masih berada dalam tempoh peralihan dan kita jangka bahawa platform akan melaksanakan obligasi ini pada awal Januari tahun depan.
“Oleh sebab itu, semua data tentang berapa akaun yang mereka telah sahkan dan tutup, akan dihantar kepada kita selepas tempoh peralihan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Teo menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang), yang ingin tahu tahap pematuhan platform media sosial terhadap pelaksanaan mekanisme pengesahan umur, termasuk jumlah akaun yang telah disahkan dan disekat serta tindakan terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi kewajipan berkenaan.
Beliau berkata SKMM telah mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan media sosial termasuk Meta, TikTok dan Google, bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur, selain mendapatkan maklumat berkaitan untuk tujuan pemantauan dan penilaian pematuhan.
Teo berkata penyedia perkhidmatan berlesen yang gagal mematuhi kewajipan di bawah ONSA, boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk denda sehingga RM1 juta dan denda tambahan sehingga RM100,000 sehari bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan.
Berhubung ancaman akaun palsu dan ucapan kebencian pula, beliau menjelaskan mekanisme pengesahan umur bagi pengguna media sosial berusia 16 tahun ke atas, tidak melibatkan pengesahan identiti pengguna.
Justeru, Teo berkata pelaksanaan mekanisme itu tidak secara langsung dapat menangani masalah akaun palsu, sebaliknya memerlukan penelitian dan perbincangan lebih mendalam mengenai langkah bersesuaian.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.