Muafakat Sabah tuntut BN kompromi kerusi, kata penganalisis

Barisan Nasional (BN) wajar memberi laluan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di beberapa kerusi Parlimen disandang jika mahu menjayakan gagasan Muafakat Sabah dicadangkan seorang pemimpin Umno, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad, berkata sentimen menyokong parti tempatan yang semakin kuat di Sabah, selain prestasi GRS pada PRN lalu, perlu menjadi pertimbangan utama dalam rundingan kerusi antara dua gabungan itu.
Menurut ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkenaan, GRS wajar diberi laluan di kawasan Parlimen yang menyaksikan gabungan itu mempunyai pengaruh kuat di peringkat DUN, namun keputusan perlu mengambil kira peluang menang calon dan penerimaan pengundi setempat.

Beliau berkata, perkara tersebut semakin penting bagi mengelak pertembungan sesama sekutu yang merugikan, terutama ketika wujud kemungkinan kerjasama antara Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), pada PRU16.
“Laluan kepada GRS wajar dipertimbangkan secara pragmatik di kawasan yang mempunyai kekuatan DUN GRS,” katanya kepada FMT.
Syahruddin mengulas seruan Ketua Umno Tenom Raime Unggi supaya BN dan GRS memperkukuh kerjasama menerusi gagasan Muafakat Sabah bagi menghadapi PRU16.
Sebelum ini, Setiasuaha Agung GRS Armizan Mohd Ali, berkata komponen itu pada PRU16 mahu meraih semula 12 kerusi termasuk enam yang kini disandang BN, iaitu Libaran, Kalabakan, Pensiangan, Beaufort, Kimanis, dan Putatan.
Namun, Syahruddin mengakui wujud kebimbangan cadangan itu lebih bersifat retorik dan bermotifkan usaha mempertahankan kelangsungan politik BN, terutama ketika GRS turut berhasrat menambah kerusi Parlimennya.
Menurutnya, Muafakat Sabah boleh menjadi asas rundingan bagi memastikan BN terus mendapat sokongan jentera GRS di kawasan tertentu, tetapi keberkesanannya bergantung kepada kesediaan kedua pihak bertolak ansur.
Beliau berkata, rundingan perlu dibuat secara telus dengan mengutamakan calon berpotensi menang serta mengimbangi kepentingan parti dengan kehendak akar umbi.
BN ‘di hujung tanduk’ di Sabah?
Sementara itu, Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut berpandangan GRS wajar diberi laluan di kawasan tertentu, namun keputusan itu bergantung kepada rundingan politik kedua gabungan.

Katanya, cadangan Muafakat Sabah perlu dilihat dalam konteks usaha BN mempertahankan kedudukannya selepas mencatat prestasi buruk pada PRN Sabah, November tahun lalu.
Menyifatkan kelangsungan politik BN di negeri itu seperti ‘telur di hujung tanduk’, Arvin berkata kerjasama dengan GRS secara tidak langsung memberi sedikit kelegaan kepada gabungan berkenaan mengekalkan beberapa kerusi Parlimen.
“Walaupun BN dilihat mengukuhkan pengaruh mereka di Semenanjung melalui PRN negeri, realiti politik di Sabah dilihat berbeza,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.