The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, September 30, 2026

Polis gempur sindiket pusat panggilan judi dan penipuan

Translate

Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan perjudian dan penipuan dalam talian susulan penahanan 74 warga asing menerusi Ops Dadu Khas di sekitar ibu negara, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata operasi serentak ke atas lapan premis kediaman itu dilancarkan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Tangkapan melibatkan 67 lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, merangkumi 61 warga China, 12 warga Vietnam serta seorang warga Taiwan berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan mendapati kelapan-lapan premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian, panggilan cinta dan penipuan pelaburan tidak wujud, selain dijadikan asrama atau penginapan operator pusat panggilan,” menurut kenyataan.

Pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan elektronik yang disyaki digunakan bagi aktiviti jenayah terbabit, antaranya set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama.

Polis turut merampas satu peket plastik lut sinar mengandungi lima biji pil kemerahan disyaki dadah jenis Yaba seberat 0.8 gram serta serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.72 gram.

Lapan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka, Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan tipu, dan Seksyen 120B kanun yang sama bagi kesalahan pakatan jahat jenayah.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Polis sentiasa komited membanteras aktiviti perjudian kerana ia membawa impak negatif yang signifikan kepada kestabilan ekonomi negara dan keruntuhan sosial.

“Tindakan penguatkuasaan menyeluruh ke atas semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat melibatkan pelbagai elemen termasuk pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Polis menyeru orang ramai agar berterusan menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan itu.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.