Kajian kebolehlaksanaan F1 dibawa ke Kabinet hujung bulan ini

Kajian kebolehlaksanaan untuk membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada minggu ketiga atau hujung bulan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.
Beliau berkata, kajian itu akan meneliti beberapa aspek utama, termasuk kos penganjuran, kesiapsiagaan litar, kemudahan infrastruktur serta potensi pulangan ekonomi sebelum sebarang keputusan dibuat kerajaan.
Katanya, SIC akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan (MoF) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), selain mendapatkan maklum balas sektor swasta, termasuk industri perhotelan serta makanan dan minuman (F&B).
“Insya-Allah kita jangkakan kajian ini dapat dibentangkan pada penghujung atau minggu ketiga November, bergantung kepada slot yang kita peroleh di peringkat Kabinet.
“Kita perlu melihat keseluruhan aspek termasuk kos, kesiapsiagaan litar dan infrastruktur kerana F1 bukan sesuatu yang kecil untuk dianjurkan. Ia merupakan projek nasional,” katanya selepas perlumbaan Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 di SIC semalam.
Berdasarkan perbincangan awal dengan pihak pemegang hak komersial F1, katanya, slot penganjuran yang berpotensi untuk Malaysia hanya akan dibuka bermula 2029.
Bagaimanapun, beliau berkata, SIC akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak F1 bagi meneliti peluang serta bentuk kerjasama lain yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
Jelasnya, aspek kos antara pertimbangan utama memandangkan penganjuran F1 memerlukan pelaburan besar, selain persediaan infrastruktur sewajarnya.
Menurutnya, SIC akan meneliti mekanisme cukai F1 bagi memastikan pulangan daripada aktiviti ekonomi berkaitan dapat disalurkan semula kepada kerajaan untuk membantu mendapatkan semula sebahagian pelaburan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.