Letak jawatan setiausaha agung DAP juga, Loke diberitahu

Pengerusi Urimai P Ramasamy menggesa Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook turut berundur daripada jawatan tertinggi parti itu jika percaya pengendalian DAP berhubung pengampunan bersyarat bekas perdana menteri Najib Razak mencerminkan kegagalan hala tuju politik parti.
Ramasamy, bekas pemimpin DAP, berkata persoalan yang lebih penting bukan sama ada Loke meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan, tetapi sama ada beliau bersedia menerima tanggungjawab politik sebagai setiausaha agung parti.
“Jika Loke benar-benar percaya bahawa DAP telah gagal dalam hala tuju politiknya berhubung isu Najib, beliau harus tampil dan meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung bersama pemimpin lain yang turut memikul tanggungjawab terhadap keputusan parti.
“Peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri sahaja tidak menyelesaikan masalah politik lebih mendalam yang dihadapi DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramasamy turut mempersoalkan sama ada Loke serius untuk meletakkan jawatan daripada Jemaah Menteri, memandangkan peletakan jawatannya hanya akan berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Katanya, syarat yang ditetapkan itu dilihat berubah daripada pengumuman awal Loke bahawa peletakan jawatannya berkait dengan pengampunan Najib kepada penetapan masa berdasarkan permulaan tahanan rumah Najib.
Loke berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan berhubung pengampunan bersyarat itu, yang membolehkan bekas perdana menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah, tertakluk kepada bayaran RM50 juta dan syarat-syarat lain.
Beliau kemudian berkata peletakan jawatannya akan berkuat kuasa apabila Najib memulakan tahanan rumah, manakala pemimpin DAP lain dalam kerajaan perpaduan akan kekal dalam jawatan masing-masing demi kepentingan kestabilan politik.
Ramasamy turut mencabar dakwaan Loke bahawa DAP masih mendapat sokongan kira-kira 80% pengundi Cina, dengan berkata ia sudah menjadi ‘pencapaian yang besar’ sekiranya parti itu memperoleh walaupun 40% sokongan pada PRU16.
Beliau berkata Loke perlu berhenti menganggap bahawa masyarakat Cina akan kehilangan wadah politik tanpa DAP.
“Masyarakat Cina bukan tidak berdaya dari segi politik,” katanya, sambil menambah bahawa masyarakat itu telah melahirkan generasi pengundi, golongan profesional, usahawan, intelektual dan pemimpin masyarakat yang mampu membuat pilihan politik sendiri.
Angka 80% yang disebut Loke adalah berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini, walaupun beliau mengakui bahawa untuk memperoleh 90% sokongan adalah sukar.
Beliau turut berkata parti itu perlu membina semula sokongan di luar kelompok penyokong tradisionalnya menjelang PRU16.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.