Warga Singapura didakwa edar 19kg dadah di lapangan terbang Ipoh

Lelaki warga Singapura yang ditahan kerana memiliki 19kg dadah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) baru-baru ini, berdepan hukuman mati apabila didakwa mengedar dadah jenis kanabis di Mahkamah Majistret.
Chen Long, 26, faham pertuduhan setelah ia dibacakan dalam bahasa Mandarin namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 19,040 gram di mesin bagasi A, kaunter daftar masuk LTSAS pada 6.20 pagi, 8 Nov lepas.
Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Majistret Norizan Riduan menetapkan 26 Feb tahun depan bagi serahan laporan kimia dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainin Sofiya Azlaini manakala Chen diwakili peguam Sivananthan Ragava.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.