Ugut jenayah, mahkamah tak benar 3 budak Myanmar dijamin

Tiga kanak-kanak lelaki Myanmar dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana melakukan ugutan jenayah terhadap seorang warga emas, pada 22 Okt.
Dua daripada mereka berusia 11 tahun dengan seorang berusia 12 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan buat kali kedua di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Menurut Kosmo, mereka secara bersama didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 71 tahun menggunakan beberapa peralatan termasuk mop, besi, lampu panjang berwarna putih, dan seketul batu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah beralamat Tingkat Binjai 14, Taman Sri Rambai, Seberang Perai, pada 6 petang, 22 Okt.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan memohon jaminan RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan beserta syarat tambahan iaitu mereka perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua minggu sekali.
“Memandangkan mangsa adalah jiran, saya mohon supaya ketiga-tiga kanak-kanak ini beserta ahli keluarga untuk tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai,” katanya menurut laporan berkenaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain yang mewakili tiga tertuduh memohon jaminan selain mengambil kira usia kanak-kanak terbabit.
“Dua kanak-kanak yang berusia 11 bersama seorang yang berusia 12 tahun ini masih bersekolah.
“Bapa ketiga kanak-kanak ini bekerja sebagai pekerja kontrak dengan pendapatan RM100 sehari, manakala salah seorang ibu tertuduh adalah pekerja kilang dan dua lagi adalah suri rumah,” katanya.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 10 Nov ini untuk lantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula dan serahan dokumen.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.