2 Adun sahkan terima surat batal lantikan exco N Sembilan

Adun Gemencheh Suhaimizan Bizar dan Adun Serting Mohd Fairuz Mohd Isa antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang mengesahkan menerima surat pemakluman mengenai pembatalan lantikan jawatan exco.
Suhaimizan yang juga pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata beliau menerima pemakluman berkenaan semalam.
“Ya, saya terima surat semalam, tapi saya tidak boleh ulas lanjut buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Turut memberi respons sama Fairuz selaku pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali malam tadi, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Kenyataan itu memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mendapati semua exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Azizi berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang Dipertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.