Nazri sokong pilihan raya PBT di sebalik pertikaian sayap Umno-MCA

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nazri Aziz, menyokong cadangan mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), ketika isu itu mencetuskan perbezaan pendirian antara Pemuda Umno dengan sekutunya dari MCA.

Beliau yang juga bekas menteri undang-undang berkata,pemimpin kerajaan tempatan sepatutnya dipilih penduduk supaya mereka boleh dipertanggungjawabkan atas prestasi pentadbiran, termasuk disingkirkan melalui pilihan raya jika gagal menjalankan tugas.
“Kalau kita mahu kawasan dan bandar kita maju, kita tidak boleh hanya bergantung kepada pegawai kerajaan yang dilantik untuk mengetuai pentadbiran tempatan,” katanya dalam temu bual FMT.
Nazri berkata, pegawai dilantik mengetuai pentadbiran tempatan mungkin tidak mempunyai hubungan rapat dengan kawasan ditadbir, selain boleh dipindahkan ke tempat lain tanpa perlu mendapatkan mandat penduduk.
Sebaliknya, pemimpin dipilih melalui pilihan raya perlu menjaga kepentingan penduduk kerana kedudukan mereka bergantung kepada sokongan pengundi.
“Mereka tahu kalau tidak buat kerja, rakyat boleh menolaknya pada pilihan raya seterusnya,” katanya.
Pemuda MCA pada Sabtu mengemukakan resolusi menggesa kerajaan menghidupkan semula pilihan raya PBT bermula di Wilayah Persekutuan bagi membolehkan penduduk memilih wakil dalam pentadbiran tempatan.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menegaskan cadangan dikemukakan Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon itu bukan pendirian pihaknya mahupun Pemuda Barisan Nasional (BN).
Beliau turut mencadangkan MCA hanya bertanding di kawasan bandar sahaja dengan kawasan majoriti Melayu boleh diserahkan kepada komponen BN lain.
Pada 2023, Ketua DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai juga pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di ibu negara.
Pilihan raya PBT pernah diadakan sebelum digantung pada 1965 dan secara berkesan dimansuhkan setahun kemudian.
Pada 2008, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) cuba menghidupkan semula pilihan raya PBT bagi memenuhi janji pilihan raya, namun tidak berhasil.
Mengulas kebimbangan pilihan raya PBT boleh menyebabkan satu kaum atau parti mendominasi pentadbiran tempatan, Nazri mencadangkan pertandingan diadakan tanpa menggunakan parti politik.
Beliau berkata, calon boleh bertanding atas kapasiti individu berdasarkan kemampuan dan komitmen terhadap kawasan masing-masing, bukannya mewakili Umno, DAP, PKR atau mana-mana parti.
“Kalau Nazri Aziz mahu bertanding di Bukit Bintang, contohnya, saya bertanding atas nama saya sendiri.
“Kalau penduduk suka saya, mereka akan undi saya. Tidak kira sama ada mereka Melayu, Cina atau India,” katanya yang turut mencadangkan sistem pemilihan secara berkumpulan atau senarai calon diwajibkan mempunyai wakil pelbagai kaum bagi memastikan perwakilan lebih seimbang.
Sebagai contoh, katanya, calon boleh membentuk beberapa kumpulan seperti Senarai A, B dan C untuk bertanding, dengan setiap senarai perlu mempunyai wakil daripada pelbagai kaum.
Beliau berkata, kumpulan dipilih penduduk kemudiannya boleh menentukan siapa dalam kalangan mereka akan mengetuai pentadbiran PBT.
“Tidak boleh satu kumpulan itu semuanya daripada satu kaum sahaja. Ini boleh membantu mengurangkan pertembungan berdasarkan kaum,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.